Wednesday, February 12, 2014

PBSNT Terima Surat Peletakan Jawatan Irfan

KUALA TERENGGANU, 11 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah menerima surat peletakan jawatan pemain pertahanan pasukan T-Team, Mohd Irfan Abdul Ghani.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di sini itu.

Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut" kerana menghilangkan diri begitu sahaja.

"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan).

"Maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri dan saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bagus," katanya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain import ni ada undang-undang sendiri. Dia ada ejen dan sebagainya. Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka. Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.

"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment