Tuesday, February 25, 2014

MSN Cadang Buka Kompleks Sukan Di Wangsa Maju Kepada Umum

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) bercadang membuka Kompleks Sukan di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini untuk kemudahan orang ramai dalam masa terdekat.

Pegawai Perhubungan Awam MSN Mohd Fahmi Omar berkata pihaknya perlu menyelesaikan beberapa perkara teknikal sebelum kemudahan itu boleh dibuka kepada orang awam.

"Walaupun kompleks itu dibuka kepada umum kelak, MSN tetap akan menggunakannya untuk kegunaan atlet jika ada keperluan memandangkan ia dibina untuk kemudahan atlet negara," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Beliau berkata kompleks itu mempunyai kemudahan sukan berprestasi tinggi seperti kolam renang bersaiz olimpik, trek acara olahraga dan balapan, gelanggang badminton, padang bola sepak dan astaka.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak termasuk penduduk setempat mendesak supaya kompleks sukan itu dibuka untuk kegunaan awam memandangkan warga setempat tidak mempunyai tempat dan dewan khusus untuk kegunaan aktiviti riadah mereka.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment