Monday, February 24, 2014

Misteri Larkin' belum terungkai

CERITA insiden panas yang berlaku di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 1 Februari lalu masih lagi belum berakhir.

Semalam, pengurusan T-Team yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Ab. Rasid Jusoh serta ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan pihak kedutaan Brazil.



Difahamkan, pertemuan itu diadakan selepas Duta Brazil di Malaysia, Maria Auxiliadora Figueirado menerima laporan daripada dua pemain - Evaldo Rodrigues, Fabio Flor de Azivedo serta jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo ekoran insiden di Larkin.

“Tujuan saya berada di sini (Kuala Terengganu) adalah bagi membincangkan dengan pihak pengurusan T-Team mengenai isu keselamatan pemain.

“Ia adalah sebahagian tugas pihak kedutaan Brazil untuk memastikan keselamatan rakyat kami di negara ini.

“Jika mereka berada dalam keadaan bahaya, kami tidak ada pilihan lain kecuali membawa pulang mereka dari negara ini,” kata Figueirado.

Menurut Figueirado, beliau telah berbincang dengan Rodrigues, Fabio Flor dan Impagliazzo berhubung perkara tersebut, namun mereka sepakat untuk meneruskan khidmat bersama T-Team.
“Saya percaya mereka sudah pasti pernah melihat pelbagai keganasan dalam sukan bola sepak sebelum ini.

“Ancaman keselamatan dalam bola sepak adalah perkara biasa dan saya fikir adalah malang kejadian ini berlaku.

“Bagaimanapun, saya percaya ketiga-tiga mereka telah melihat atau mendengar perkara yang lebih buruk berlaku di negara kami,” ujarnya.

Turut serta dalam pertemuan itu semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Terengganu, Rozi Mamat, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Deraman dan penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar.

Dalam pada itu, Rozi berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan siasatan berhubung insiden di Larkin.

“Kita telah buat apa yang perlu dan apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah menunggu pihak berkuasa menyelesaikan siasatan mereka,” katanya.

Pada insiden di Larkin itu, Rodrigues dan Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Insiden tersebut telah memaksa T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua atas faktor keselamatan.


KOSMO!

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment