Friday, February 21, 2014

MGF gagal lahir pelapis


Kuala Lumpur: Apa sudah jadi dengan sukan gimnastik negara yang semakin senyap dan sepi?
Itu persoalan yang dibangkitkan bekas atlet gimnastik negara yang tidak mahu namanya disiarkan.

Menyorot kembali kejayaan atlet gimnastik negara sebelum ini di pentas dunia dengan pencapaian terbesar memenangi pingat emas Sukan Komanwel 1998 dalam acara berpasukan wanita, pembangunan sukan itu kini dilihat sepi tanpa munculnya atlet baru berbakat.

Menurut bekas atlet itu, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dilihat gagal dalam melahirkan atlet pelapis dengan sehingga kini tiada seorang yang mampu bersaing di peringkat Asia.

“Jika sebelum ini, wakil kita ada saja bersaing di peringkat Asia, tapi sekarang tidak ada langsung. MGF benar-benar gagal dalam merancang pembangunan sukan itu.

“Apa yang lebih menyedihkan, kejohanan di peringkat tempatan sekarang begitu sedikit tidak seperti dulu. Kalau tidak silap saya, sukan ini menerima peruntukan yang banyak daripada kerajaan. “Jadi ke mana duit itu, sudahlah persatuan jarang menganjurkan kejohanan dalam negara, latihan skuad kebangsaan juga saya dengar sekarang tak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, MGF juga dilaporkan jarang menghantar atlet menyertai pertandingan di luar negara dalam usaha memberi pendedahan. “Dulu kami selalu menyertai kejohanan luar negara kerana dari situ kita dapat perbaiki kelemahan selain meningkatkan keyakinan apabila berjumpa gimnas dari Eropah atau China,” katanya.


Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment