Tuesday, February 25, 2014

Mesyuarat Agung PSM Mungkin Ditangguh - Ahmad Ismail

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail memberi bayangan awal tarikh mesyuarat agung (AGM) PSM yang sepatutnya berlangsung pada April akan ditunda.

Beliau berkata PSM masih belum menetapkan tarikh bagi AGM persatuan berkenaan namun perkara itu akan diputuskan selepas perlawanan pusingan akhir Siri Super ISTAF berakhir.

Kejohanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa dijadualkan bermula dari 5 hingga 9 Mac ini.

"Kita belum pasti sama ada ingin tunda tarikh AGM namun sekiranya ada alasan yang kukuh PSM berhak mendapat kebenaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS)," katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan undian kejohanan perlawanan pusingan akhir Siri Super ISTAF 2013/2014, di sini

Ahmad berkata sebagai presiden beliau tidak mempunyai hak untuk menetapkan tarikh AGM sebaliknya perkara tersebut perlu mendapat persetujuan dari pihak PPS.

PSM perlu melakukan AGM pada bulan April ini apabila tamat penggal bagi 2010-2013 untuk pemilihan baharu pucuk pimpinan persatuan sukan tersebut.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment