Wednesday, February 12, 2014

'Mereka peminat atau pengganas?'

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali tampil melontarkan pandangan mengenai isu kekecohan yang berlaku ketika Pahang menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan Jumaat lalu.

Menurut Khalid, sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berbincang dengan pihak berkuasa bagi menghalang penyokong-penyokong bertopeng daripada memasuki dan berada di dalam kawasan stadium.

"Saya tidak tahu pula semakin ramai Batman (penyokong bertopeng) datang ke stadium. Kadang-kadang saya terfikir mereka ini sebenarnya peminat atau pengganas?

"Bagi saya, datang tengok bola tiada masalah tetapi jika ada perancangan untuk menghuru-harakan suasana bola sepak, ini satu perkara membimbangkan.

"Kita tidak boleh salahkan FAM dalam hal ini kerana FAM telah sedaya upaya mengetatkan kawalan keselamatan sewaktu perlawanan berlangsung.

"Jadi, saya berharap pihak berkuasa mula campur tangan dalam hal ini," kata Khalid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada pertembungan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat lalu, kejayaan Pahang menewaskan Johor DT 3-2 dicemari dengan beberapa insiden panas membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, kekecohan yang tercetus di dalam mahupun di luar stadium itu dapat diselesaikan oleh pihak polis.

Difahamkan, dalam kejadian tersebut, empat buah bas penyokong Johor DT didakwa diserang segelintir penyokong Pahang sebaik perlawanan berakhir.

Insiden itu dikatakan berlarutan hingga di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan apabila penyokong kedua-dua pasukan mula melakukan provokasi sehingga menyebabkan ada segelintir penyokong dan orang awam mengalami kecederaan.

"Saya setuju bahawa polis seharusnya sudah boleh mengambil tindakan tegas kepada para penyokong yang membuat kacau ini.

"Cuma saya khuatir polis gagal mengecam pesalah yang sebenar kerana ada di antara mereka yang memakai topeng.

"Stadium adalah kawasan ahli keluarga bersantai menyaksikan perlawanan bola sepak, bukannya medan untuk bergaduh sesama penyokong," tegasnya.

KOSMO!

No comments:

Post a Comment