Friday, February 07, 2014

Mendukacitakan!


Kuala Terengganu: “Ini keputusan tidak adil dan mendukacitakan!”

Itu luahan kecewa penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar berhubung keputusan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam mesyuarat FAM semalam.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu juga dibuat tanpa memikirkan semangat kesukanan tinggi sekali gus menghampakan harapan T-Team.

“Pengurusan T-Team dan pemain mengharapkan keputusan dibuat FAM sama sebagaimana yang berlaku pada saingan separuh akhir kedua Piala FA, 28 Mei tahun lalu antara Pahang dengan Johor DT yang ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Tapi apa yang berlaku sebaliknya, kenapa keputusan sama tidak dibuat sedangkan pegawai permainan ketika itu memutuskan permainan boleh diteruskan, sama seperti yang berlaku antara T-Team dan Johor DT, Sabtu lalu.

“Keputusan yang dibuat FAM ini tidak adil ketika kami mengharapkan FAM akan membuat keputusan agar perlawanan ulangan diadakan di gelanggang berkecuali. Kami juga akan terima jika FAM membuat keputusan perlawanan itu diadakan di stadium tanpa penonton,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Azlan membuat ulasan itu selepas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Seri Afandi Hamzah memutuskan memberi kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT sekali gus melayakkan skuad Harimau Selatan itu melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA bertemu Kedah.

Selain itu, bekas anak didik Raja Bola Datuk Abdul Ghani Minhat itu turut menuntut pemimpin FAM bertindak dengan bijak bagi memastikan tidak ada pasukan yang kecewa dengan keputusan yang dibuat badan induk itu.
“Sebagai bekas ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM musim lalu, saya menaruh harapan tinggi FAM bukan hanya memikirkan berkenaan aspek pembangunan bola sepak saja tetapi juga perkara lain termasuk dalam hal ini,” katanya. Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, sebagai peminat setia pasukan, beliau mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan FAM itu dan berharap badan induk bola sepak negara itu meneliti secara terperinci berhubung insiden yang berlaku dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu.

Katanya, pada awal jangkaan, perlawanan akan diadakan semula sebagaimana yang berlaku antara Pahang dan Johor DT dalam saingan separuh akhir Piala FA musim lalu yang menyaksikan perlawanan ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Itulah jangkaan kami, tapi apa yang berlaku sebaliknya dan sebagai peminat saya begitu kecewa dengan keputusan FAM dan mengharapkan badan induk itu mengkaji semula walaupun mengetahui mereka tidak akan berganjak dengan keputusan itu,” katanya.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, walaupun kecewa dengan keputusan itu tetapi beliau sudah menjangkakannya.

“Keputusan yang dibuat FAM memang sudah dijangka. Apa lagi yang mampu saya katakan, saya memang cukup kecewa dengan keputusan ini,” katanya ringkas berhubung keputusan badan induk bola sepak negara itu.

Menurutnya, memandangkan keputusan itu sudah diputuskan FAM, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan T-Team mengenai tindakan susulan berhubung keputusan berkenaan.



Oleh Malik Muhamad, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment