Friday, February 14, 2014

Masalah PKBM Tidak Patut Halang Pelumba Cipta Kejayaan Pada LTdL

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Permasalahan yang dihadapi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak sepatutnya dijadikan halangan kepada pelumba kebangsaan mencipta kejayaan pada jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Bekas pelumba kebangsaan Musairi Musa berkata sebagai pelumba mereka sepatutnya mengenepikan masalah pengurusan dan menumpukan kepada matlamat yang hendak dicapai pada edisi kali ini.

"Dari segi krisis, dari dahulu lagi sudah timbul perkara ini tetapi kami motivasikan diri melalui sokongan luar seperti penajaan dan rakan-rakan media.

"Selain itu, kami pegang harapan untuk mengharumkan nama negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan penajaan Resort World Berhad sempena LTdL 2014 di sini hari ini.

Ditanya mengenai barisan pelumba kebangsaan pada edisi ke-19 ini, Musairi berkata yang penting pelumba perlu membuktikan bahawa mereka masih berbisa dan mampu memberi saingan sengit kepada pelumba lain.

"Senarai pasukan kebangsaan belum diketahui. Tetapi apa yang boleh saya katakan adalah pencapaian dan persiapan pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) yang memberansangkan," katanya.

Musairi pernah mewakili pasukan kebangsaan pada LTdL 1996 dan muncul pelumba terbaik negara selepas menamatkan perlumbaan menawan puncak Genting Highlands di tempat ke-12 dan pada tahun yang sama pasukan kebangsaan muncul pasukan terbaik Asia.

Mengulas permasalahan dalam PKBM, Musairi berkata pihak terbabit perlu bersikap terbuka dan sedia memperbetulkan kesilapan yang berlaku demi kegemilangan sukan berbasikal negara.

Januari lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengarahkan unit audit dalaman kementerian itu menjalankan proses audit akaun PKBM membabitkan dana tahunan berjumlah RM1.5 juta.

Bagaimanapun proses audit kedua terpaksa dijalankan selepas mendapati beberapa kelemahan dan kepincangan serius dalam pengurusan kewangan oleh persatuan itu terhadap dana kerajaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment