Wednesday, February 19, 2014

LTdL 2014: TSG Sandar Harapan Kepada Enam Pelumba Berpengalaman

KUALA TERENGGANU, 18 Feb (Bernama) -- Pasukan profesional Terengganu Cycling Team (TSG) menyandar harapan kepada enam pelumba berpengalaman dalam menghadapi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang bermula Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Rozali Salleh berkata enam pelumba tempatan itu diketuai pelumba sensasi Anuar Manan.

Pelumba lain terdiri daripada Muhammad Adiq Hussaini Othman, Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohammad Saudi Mat Senan yang masing-masing mempunyai kelebihan sama ada dalam mendaki bukit, memecut dan di jalan landai.

"Kami tidak menggunakan khidmat pelumba import tetapi menggunakan pelumba tempatan yang dirasai mampu membuat kejutan pada kejohanan kali ini," katanya kepada Bernama.

LTdL 2014 bermula dari 27 Feb hingga 8 Mac sejauh 1,506.5 km meliputi 10 peringkat yang bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Terengganu.

Rozali berkata para pelumba baru selesai menjalani latihan selama seminggu di laluan sebenar LTdL.

Beliau juga berkata TSG telah menemui jurulatih baharu bagi menggantikan Sebastian Duclos dari Itali yang telah tamat kontraknya.

Sementara menunggu ketibaan jurulatih itu yang berasal dari England iaitu Julian John Winn, tugas melatih skuad dikendalikan bekas pelumba berbasikal kebangsaan Mohd Jasmin Othman, katanya.

Beliau juga berkata TSG menyenarai lima pelumba termasuk dua pelumba import untuk menyertai Tour de Taiwan yang akan berlangsung dari 9 hingga 13 Mac.

Mereka ialah Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, Mohd Saiful Anuar Aziz, Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Muradjan Halmuretov (Uzbekistan) dan Maarten de Jonge (Belanda).

Kedua-dua pelumba import itu merupakan anggota baharu TSG bagi menggantikan pelumba import Shinichi Fukushima (Jepun), Chan Jang Joe dan Kim Do Hyong (Korea Selatan).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment