Monday, February 10, 2014

Khairy risau gejala samseng kian menular


Lumut: Sikap fanatik serta trend samseng bola sepak yang semakin menular di kalangan peminat sukan tanah air sedikit sebanyak menjejaskan kerancakan saingan kejohanan berprestij bola sepak Malaysia.

Perkara itu diakui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) yang turut meluahkan perasaan bimbang dan takut apabila mendapati trend samseng bola sepak semakin menular di kalangan peminat sukan itu.

Menurutnya, langkah segera perlu diambil bagi menangani trend penyokong fanatik bola sepak tempatan yang ketika ini dilihat semakin berani bertindak ganas dan membahayakan keselamatan penonton lain.

“Kita tidak mahu ada gejala ‘hooligan’ di stadium sebagaimana yang berlaku di Eropah sebelum ini yang bertindak samseng. Saya agak risau dengan trend penyokong bola sepak yang saya lihat kini semakin ganas.

“Saya akan meminta kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk sama-sama menangani masalah ini,” katanya. kepada pemberita selepas merasmikan Retreat Kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia di sini semalam. Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir.

Khairy berkata peminat bola sepak sepatutnya pergi ke stadium tanpa berasa takut dan risau akan keselamatan mereka namun berikutan timbul beberapa kekacauan membabitkan penyokong pasukan bola sepak tempatan sama ada ketika atau selepas permainan selesai sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai tanggapan negatif.

Mengulas insiden berlaku di luar Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Jumaat yang berpunca daripada kehadiran segelintir ‘samseng bola sepak’ yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan dengan melakukan provokasi, Khairy berkata pihaknya dengan bantuan FAM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk utama stadium bagi memastikan benda larangan yang boleh mendatangkan kemudaratan tidak dibenarkan dibawa masuk.



Oleh Wan Asrudi Wan Hasan, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment