Thursday, February 20, 2014

Ketiadaan Mat Yo Pada Hari Pertama Sesi Latihan Jadi Tanda Tanya

PETALING JAYA, 19 Feb (Bernama) -- Ketiadaan kelibat penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada sesi latihan hari pertama skuad Harimau Malaya hari ini di padang latihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi tanda tanya.

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata sebagai pemain profesional, Norshahrul sepatutnya melaporkan diri pada hari pertama sesi latihan.

"Ini bukan kali pertama beliau dipanggil dalam skuad kebangsaan, sepatutnya beliau lapor diri dulu. Beliau perlu memberikan surat rasmi (tidak hadir latihan) bukan secara lisan sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang FAM, Kelana Jaya di sini.

Antara pemain skuad Harimau Malaya yang melapor diri hari ini ialah Mohd Baddrol Bakhtiar, Mohd Farizal Marlias, Mohd Safee Mohd Sali, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Badhri Mohd Radzi.

Selain Norshahrul, seorang lagi penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah turut tidak hadir kerana masalah peribadi.

"Amri ada beritahu saya beliau tidak dapat hadir hari ini kerana masalah keluarga jadi kita tunggu perkembangan mereka," katanya.

Kim Swee berkata beliau lebih memberi penekanan pada bahagian pertahanan dan skuad kebangsaan tidak mempunyai masalah di bahagian serangan.

"Selain Mat Yo (Norshahrul), skuad masih ada penyerang seperti Mohd Safee Mohd Sali, Bobby Gonzales, Amri, Ahmad Fakri Saarani...yang penting adalah di barisan pertahanan," katanya.

Skuad Harimau Malaya membuat persiapan menentang Yemen pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), 5 Mac ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment