Wednesday, February 12, 2014

‘KBS sedia timbang audit PSM’


 Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia menimbang untuk melakukan audit terhadap akaun perbelanjaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang dilaporkan berjumlah RM2 juta pada 2011.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, tiada masalah untuk pihaknya menjalankan audit terhadap badan induk sepak takraw negara itu kerana peruntukan itu disalurkan pihak kerajaan.

“Walaupun ia (peruntukan) disalurkan terus daripada Kementerian Kewangan, saya rasa kita juga boleh melakukan audit.

Biar saya tengok dulu, saya akan mempertimbangkan (perkara ini),” katanya selepas merasmikan Seminar ISN-UPM Sports Science Governed Sports Leadership Empowerment Series, semalam.
Isu peruntukan RM2 juta berkenaan dibangkitkan Kelab Sukan Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia minggu lalu yang menggesa Khairy mengambil tindakan sama terhadap PSM selepas menjalankan audit terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini.

Kelab berkenaan yang diwakili presidennya, Rommi Suhendra Norsal mempersoalkan perbelanjaan peruntukan berkenaan dan ingin mengetahui sama ada ia dibelanjakan dengan cara betul.

PSM dibayangi kemelut berpanjangan sejak kegagalan skuad negara di Sukan SEA Myanmar, penghujung tahun lalu dengan segelintir bekas pemain negara dan peminat tampil mendesak perubahan dilakukan terhadap kepimpinan tertinggi badan induk berkenaan yang dilihat gagal dalam membangunkan sukan tradisi itu.

Terdahulu Khairy ketika ditanya mengenai situasi kepimpinan persatuan sukan kebangsaan ketika ini berkata, ada persatuan yang dipimpin baik dengan struktur pentadbiran bijak serta pandai mencari penaja sendiri.

“Persatuan seperti ini kita perlu puji tapi ada juga yang terlalu bergantung kepada pembiayaan kerajaan serta tidak mempunyai kepimpinan dinamik, jadi kita perlu bantu bukan hanya dengan mengkritik tapi bekerjasama untuk mengatasi kelemahan yang ada.

Salah satu caranya adalah dengan mengembangkan industri sukan agar mereka dapat menjana penajaan sendiri,” katanya.



Oleh Azlan Muhammad Zain -  Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment