Tuesday, February 18, 2014

Karate masih cetus tanda tanya



KHAIRY (dua dari kanan) berbual dengan pelatih Akademik PGM sambil diperhatikan Ahmad Sarji selepas merasmikan Majlis Pelancaran PGM Tour Yearbook 2013 di Kelab Golf Kinrara, Puchong semalam.


PERSEKUTUAN Sukan SEA (SEAGF) belum membuat keputusan muktamad sama ada karate akan dipertandingkan sebagai satu daripada acara pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, buat masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat oleh Singapura berhubung acara itu pada temasya dwitahunan tersebut kelak.
"Masih belum ada keputusan muktamad mengenai senarai sukan dalam Sukan SEA 2015. Keputusan muktamad hanya akan dibuat pada 29 April depan dalam mesyuarat SEAGF.

"Ini bukan bermakna wakil MOM (Majlis Olimpik Malaysia) gagal melaksanakan tugas untuk meminta tuan rumah (Singapura) menyenaraikan karate sebagai salah satu sukan yang akan dipertandingkan di Singapura nanti.

"Dalam mesyuarat Sukan SEA di Singapura kelmarin (15 Februari), Malaysia telah diwakili Naib Presiden MOM, Datuk Low Beng Choo telah membuat rayuan supaya beberapa sukan dimasukkan dalam senarai Sukan SEA 2015, antaranya adalah karate," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Tahunan Jelajah Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM Tour Yearbook) 2013 di Kelab Golf Kinrara, Puchong semalam.

Turut hadir, Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Menurut Khairy, Malaysia akan terus membuat rayuan kepada Singapura untuk membolehkan acara karate disenaraikan.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Vincent Chen dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam menyalahkan pihak MOM kerana gagal mempertahankan acara karate sebagai salah satu acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2015.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SEAGF yang berlangsung pada 15 Februari itu telah bersetuju untuk menambah enam lagi acara sukan dan masih tidak memilih acara karate.

"Saya difahamkan bahawa Persatuan Karate Singapura mempunyai masalah dalaman dengan majlis olimpik kebangsaan republik itu dan sebab itu ia (acara karate) tidak disenaraikan," katanya.

Sebagai rekod, acara karate mula dipertandingkan pada Sukan SEA 1985 di Bangkok, Thailand.
Pencapaian terbaik skuad karate negara pada temasya Sukan SEA ialah pada edisi 2001 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah apabila menggondol sembilan pingat emas.

Kejayaan cemerlang skuad karate Malaysia di luar Kuala Lumpur ialah pada edisi 2007 di Korat, Thailand apabila membawa pulang lapan pingat emas.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun lalu, skuad karate negara membawa pulang tujuh pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Dalam perkembangan lain, Khairy berharap Akademi PGM bakal menjadi menjadi pusat tumpuan bagi membangunkan bakat muda dalam sukan golf pada masa depan.

"Saya harap dengan kewujudan akademi ini mampu merealisasikan hasrat beberapa pemain muda berpotensi negara untuk layak ke teasya Sukan Olimpik 2016 nanti," katanya.
KOSMO!

No comments:

Post a Comment