Wednesday, February 12, 2014

‘Kalau boleh, elakkanlah...’


Kuala Lumpur: “Jangan main-main dengan ayat Quran!” Demikian nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) kepada semua pasukan, termasuk Johor Darul Ta'zim (Johor DT) serta T-Team yang ketika ini mencuri tumpuan dengan isu bersumpah berikutan insiden dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Tengku Abdullah berkata, tindakan untuk melakukan sumpah seelok-eloknya perlu dielakkan, namun FAM tidak mampu menghalang pihak terbabit daripada melakukannya bagi membuktikan kebenaran masing-masing.

Namun menurutnya, tindakan bersumpah tidak akan sama sekali menghentikan siasatan FAM terhadap insiden itu.

“Biarlah mereka nak bersumpah atau tidak. (Yang pasti) FAM tetap akan buat ketetapan. Tapi kalau boleh janganlah sampai suruh bersumpah,” katanya ketika ditemui pada sidang media semalam.


Foto

Kelmarin, menerusi laporan Arena Metro, T-Team mengotakan janji untuk bersumpah dengan menggunakan al-Quran seperti yang diminta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan penolong jurulatih T-Team Azlan Johar, diikuti pemain tengah Khairan Ezuan Razali.

Ketika melakukan sumpah itu, mereka berdua menyatakan insiden pemain import Evaldo Rodrigues ditumbuk di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam 1 Februari lalu adalah benar.

Semalam di Johor Bahru, bekas pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani bersumpah kenyataannya menafikan adanya pergaduhan membabitkan pasukan T-Team dan JDT, adalah benar.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, tiada keperluan untuk Johor DT mengangkat sumpah di depan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden itu, sebaliknya mereka mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment