Tuesday, February 11, 2014

Johor DT tak mahu sumpah



Nusajaya: Tiada keperluan bagi pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) untuk mengangkat sumpah dengan al-Quran bagi mencari kebenaran berhubung insiden perbalahan yang berlaku di terowong pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin awal bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, sebaliknya mereka mempunyai keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk melakukan siasatan yang tidak berat sebelah bagi menyelesaikan isu yang berlaku ketika masa rehat aksi pusingan kedua Piala FA itu.

“Lebih baik sekiranya soal permainan tidak dicampur adukkan dengan agama kerana kita sedia maklum bola sepak sukan yang subjektif. Sekiranya ia berlaku (angkat sumpah dengan al-Quran), tidak mustahil keputusan pengadil nanti, perlu angkat sumpah juga.

“Bagi saya keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi kemenangan 3-0 kepada Johor DT itu dibuat dengan adil. Tapi, pada masa sama, saya mahu mengingatkan penyokong supaya tidak membesarkan isu ini bagi mengelak keadaan yang tidak tenteram.
FotoZULKURNAIN (kiri) menyampaikan cek kepada atlet Sukan Para ASEAN Nasharuddin Mohd, semalam.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kita tunggu dulu siasatan terperinci pihak polis dan saya yakin keputusan itu nanti tidak akan berat sebelah,” katanya mengulas saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said agar pemain T-Team dan Johor DT bersumpah mengenai kejadian itu.

Ahmad Said yang kecewa dengan keputusan FAM itu, mahu mendapatkan penjelasan sebenar daripada pengurusan dan pemain T-Team yang menyaksikan insiden itu dan meminta mereka bersumpah al-Quran di depannya.

Zulkurnain ditemui selepas menyerahkan insentif kepada atlet Johor yang mewakili negara ke Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2013 di Nay Pi Taw, Myanmar. Seramai 60 atlet dan pegawai sukan Johor yang menyertai kejohanan itu menerima insentif berjumlah RM138,700.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penyokong pasukan Johor DT supaya tidak terlalu taksub dan fanatik terhadap pasukan mereka hingga mengenepikan soal adab serta tatasusila bagi mengelak berlakunya kekecohan serta pergaduhan sesama penyokong.

“Sebelum bermulanya Liga Malaysia 2014 lagi Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) sudah memberi amaran keras kepada penyokong Johor supaya menjaga adab mereka sepanjang menyaksikan perlawanan.

“Saya amat bersetuju dengan saranan itu dan berharap penyokong Johor menjaga nama baik negeri selain menjadi contoh kepada penyokong lain. Ia penting bagi mengelak berlakunya kekecohan yang akhirnya membantutkan hasrat kerajaan negeri dalam melahirkan masyarakat berbudi pekerti menerusi sukan,” katanya.



Oleh Redzuan Muharam, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment