Monday, February 10, 2014

Jangan sampai FIFA masuk campur

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Dr Peter Velappan mengingatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya segera menangani kekecohan ‘di luar padang’ bagi mengelak campur tangan badan induk bola sepak antarabangsa FIFA.
Beliau berkata, bola sepak Malaysia ketika ini mula mendapat perhatian masyarakat luar, namun malangnya ia terkenal atas perkara yang tidak elok akibat beberapa insiden pergaduhan pemain dan penyokong yang sudah bertindak seperti samseng bola sepak.

Malah campur tangan orang luar dalam hal ehwal FAM baginya dilihat sebagai senario yang tidak sihat dan boleh mengundang campur tangan FIFA jika tidak diselesaikan dengan bijak.

FAM perlu mendapat semula kuasa mereka untuk menguruskan bola sepak di Malaysia, sekarang ini banyak sangat campur tangan ahli politik, MB (Menteri Besar) dan juga kerabat diraja dalam bola sepak. Malah insiden pergaduhan penyokong juga semakin teruk dan jika ketika ini ia hanya membabitkan penyokong Johor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Perak, tidak mustahil ia merebak ke negeri lain pula. Lebih membimbangkan jika ia akan menjadi ikutan golongan remaja yang menjadi generasi masa akan datang.

“Biasanya FIFA akan memantau dulu situasi ini, jika FAM tidak boleh menguruskan bola sepak mengikut undang-undang dan semangat sukan ini, barulah mereka akan masuk campur. Bagi saya ini satu cabaran besar buat FAM,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Tidak sampai dua bulan Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung, pelbagai insiden yang tidak diingini berlaku bermula dengan kejadian pergaduhan di dalam terowong permainan pada aksi pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan T-Team membabitkan pemain import dan pegawai kedua-dua pasukan di Larkin pada 1 Februari lalu.
FotoPAGAR besi kawat tidak mampu meleraikan pergaduhan antara penyokong.
Ia tidak berakhir di situ apabila kedua-dua pasukan saling mempertahankan kebenaran yang menyaksikan keputusan FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT dipertikaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Belumpun reda isu itu, masalah keganasan penyokong pula menjadi-jadi kali ini membabitkan pergaduhan antara peminat Pahang dan Johor DT selepas tamat aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu yang mengakibatkan ada penyokong mengalami kecederaan.
Velappan yang berkhidmat dengan FAM selaku Penolong Setiausaha Agung sebelum menyertai AFC berkata, FAM perlu lebih tegas bagi mengelak badan induk itu terus diperlekehkan.

“FAM perlu mengenakan syarat kepada semua persatuan negeri dan kelab supaya mematuhi peraturan, berikan mereka masa tiga bulan untuk memastikan tiada lagi kekecohan atau campur tangan luar. Jika mereka gagal maka FAM boleh singkirkan penyertaan mereka.

“FAM satu ketika dulu persatuan terbaik di Asia, negara lain menjadikan kita contoh dari segi pengurusan dan penganjuran kejohanan seperti Pestabola Merdeka, jadi mereka perlu lakukan sesuatu untuk memperbaiki imej itu,” katanya.


Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment