Wednesday, February 12, 2014

‘Jangan pilih bulu’

Oleh Azlan Muhammad Zain
Kuala Lumpur: “Sesiapa saja yang melakukan kesalahan mesti dihukum, tidak boleh pilih kasih dan undang-undang berbeza”.

Itu antara pesanan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 1 Februari lalu membabitkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menentang T-Team.

Menurut Khairy, beliau sendiri sudah menghubungi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam dengan memaklumkan isu yang berlaku semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA itu tidak boleh diketepikan begitu saja.

“Kalau ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di Larkin, FAM perlu membuat pertuduhan, mesti dilihat adil.

Tiada sesiapa yang kebal dalam perkara ini sekiranya ada kesalahan (dilakukan).

“Saya maklumkan kepada FAM ini adalah bidang kuasa mereka kerana saya hanya Menteri Belia dan Sukan, saya tidak boleh menghukum mengikut tatacara FAM namun saya menasihatkan Hamidin sekiranya FAM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap apa yang berlaku di Larkin, kredibiliti FAM dan bola sepak negara akan terjejas,” katanya ketika mengulas mengenai isu berkenaan yang masih menemui jalan penyelesaian.
Khairy turut menjelaskan sebarang keputusan yang diambil FAM akan mendapat sokongannya selagi ia dilakukan tanpa pilih kasih dan adil.
“Saya akan sokong tapi mesti ada keputusan dibuat kerana sesuatu sudah berlaku.
FotoKHAIRY (dua dari kanan) bersalaman dengan Kim Swee disaksikan bekas atlet skuasy negara Azlan Iskandar (kiri) dan bekas pemain hoki kebangsaan Mirnawan Nawawi pada Majlis Perasmian Seminar ‘ISN-UPM Sports Science Governed Sports Leadership Empowerment Series’, semalam.

Saya tidak tahu secara terperinci, saya tidak tahu siapa yang buat tapi ada sesuatu berlaku apabila pegawai dan pemain sanggup bersumpah di depan al-Quran.

Sebagai orang Islam, ia bukan perkara yang mudah dan kecil, ada saksi (melihat kejadian di terowong berkenaan), saya fikir FAM perlu bertindak dengan pantas,” katanya.
Malam kelmarin penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar dan pemainnya, Khairan Ezuan Razali bersumpah di depan al-Quran yang turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi membuktikan mereka tidak berbohong dengan melafazkan sumpah, ketika mereka berada dalam keadaan sedar dan waras melihat Evaldo Rodrigues ditumbuk di bahagian muka oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kira-kira jam 9.40 malam.
“Tanpa mereka mengangkat sumpah pun, isu ini sudah serius.

Apabila saya dapat tahu mereka angkat sumpah, sebagai orang Islam, kita perlu melihat perkara ini dengan lebih serius.

Ia satu benda yang kita tidak boleh abaikan,” katanya.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment