Friday, February 07, 2014

‘Irfan patut minta kebenaran T-Team’



Kuala Terengganu: “Sebagai pemain profesional, sepatutnya pemain T-Team ini (Muhammad Irfan Abdul Ghani) memohon kebenaran daripada majikan terlebih dulu sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelak sebarang kekeliruan,” kata Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar.
Selain itu, Hairuddin yang lebih mesra dipanggil Hai-O berkata, Irfan juga perlu mematuhi kontrak dipersetujui dengan majikan dan perlu menghormatinya dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbau negatif yang membabitkan pasukannya sendiri.

“Kenyataan dikeluarkan itu jelas melanggar kontrak antara pemain dengan majikan dan perkara ini diharap dapat diselesaikan secara baik bagi mengelak kekeliruan dan kekeruhan,” katanya ketika mengulas kenyataan pemain pertahanan T-Team itu yang mendakwa perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu sepatutnya diteruskan kerana tiada pergaduhan serta kecederaan terjadi dalam insiden terowong Larkin.

Ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga hairan kenapa kenyataan Irfan itu dibuat di Johor, tempat asal pemain berkenaan, sedangkan dia masih menyarung jersi T-Team. “Persoalan siapa betul dan salah saya tidak mahu ulas, itu saya serahkan kepada polis dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Mungkin kenyataan Irfan betul dan begitu juga dakwaan T-Team, tapi sebagai pemain berdaftar dengan PFAM, dia perlu bertindak profesional,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan berusia 34 tahun itu, dilantik Presiden PFAM yang bernaung di bawah Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPRO) Asia, juga kurang jelas tujuan sebenar Irfan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana sebagai pemain dia boleh memaklumkan kepada pihak pengurusan sekiranya timbul sebarang kekeliruan dan rasa tidak puas hati.
“Kenyataan itu bukan hanya menjejas imej pemain itu sendiri, malah pengurusan T-Team kerana dia tertakluk kepada kontrak pemain dengan majikan apatah lagi saingan liga baru bermula," katanya. Semalam, akhbar melaporkan bekas pemain pertahanan Johor DT itu dianggap belot dengan ada kemungkinan dia diugut atau dibayar selepas kenyataannya di Johor didapati bercanggah dengan majikannya T-Team.

Berikutan kenyataan itu, pengurusan T-Team mengadakan sidang akhbar tergempar kelmarin untuk menafikan kenyataan Irfan yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Dalam sidang akhbar berkenaan, pengurusan T-Team juga akan berbincang bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas pemain itu selain menyerahkan kepada polis untuk melakukan tindakan lanjut kerana bagi mereka, perkara itu serius dan perlu diteliti sebelum membuat sebarang tindakan diambil.


Oleh Malik Muhamad, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment