Wednesday, February 12, 2014

Irfan masih sah jadi milik T-Team

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa penamatan kontrak seseorang pemain tidak boleh melibatkan sebelah pihak.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, seseorang pemain tidak boleh membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sekiranya masih terikat kontrak dengan majikan asalnya.

Semalam, pemain pertahanan T-Team, Muhammad Irfan Abdul Ghani telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya bersama pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu.

Ia gara-gara kenyataan Irfan sebelum ini yang mendakwa tiada sebarang insiden panas berlaku di dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Kenyataan Irfan jelas bertentangan dengan pihak T-Team yang mendakwa pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazz telah dikasari di dalam terowong stadium itu ketika menuju ke bilik persalinan.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, FAM tidak boleh masuk campur tangan dalam kemelut yang melanda Irfan dan pihak pengurusan T-Team berhubung insiden di Larkin.

"Kita tunggu apa jawapan pihak pengurusan T-Team. T-Team boleh mengambil tindakan seperti yang ada dalam kontrak (Irfan).

"Sudah tentu penamatan kontrak sebelah pihak tidak dibenarkan.
"Andai kata ada pertikai berlaku selain aduan rasmi daripada T-Team, barulah FAM boleh bertindak," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Hamidin, Irfan yang juga bekas pemain Johor DT perlu berbincang dengan pihak pengurusan T-Team sebelum membuat keputusan sedemikian.

"Atas kertas, Irfan masih lagi milik T-Team dan jika ada pertikaian dalam kontrak tersebut, Jawatankuasa Status FAM akan membuat tindakan sekiranya T-Team mengemukakan aduan rasmi kepada kami," katanya.


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment