Monday, February 10, 2014

Idam Gegar Cali

Kejayaan meraih meraih pingat perak acara keirin pada siri ketiga Piala Dunia UCI yang berlangsung di Guadalajara, Mexico bulan lalu mendorong Fatehah Mustapa untuk terus mengorak langkah dengan menjadikan Kejohanan Dunia sebagai medan untuk dia terus menyerlah.
Pelumba negara yang beraksi atas tiket Yayasan Sime Darby itu berkata, dia tidak boleh lagi memandang ke belakang ketika ramai mata kini tertumpu ke arahnya selepas kejayaan di Mexico.


Katanya, Kejohanan Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia pada 26 Februari ini akan menjadi medan pengukur tahap kemampuannya yang kini terus giat berlatih di bawah pimpinan jurulatih John Beasley. “Menang di Mexico sesuatu yang tidak disangka, tapi memang sesuatu yang saya hajati. Sudah lama saya berharap dapat menaiki podium di Piala Dunia dan akhirnya ia menjadi kenyataan dan ia kemenangan manis untuk dikenang.

Apapun saya tidak boleh leka. Kemenangan itu satu permulaan dan saya mesti terus mencuba untuk bergelar juara dunia biarpun tampak sukar, tapi saya akan terus mencuba merealisasikan impian itu cuma kali ini saya mensasarkan pingat, tidak kiralah warna apa,” katanya.

Bakal ke Cali bersama dua lagi rakan seperjuangan Azizulhasni Awang yang akan beraksi dalam acara pecut dan keirin selain Jupha Somnet dalam scratch, Fatehah akan terus mengintai peluang dalam keirin dan pecut ketika Josiah Ng masih lagi dibelenggu kecederaan dan belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun anak kelahiran Terengganu itu tidak meletakkan sasaran tinggi dalam acara pecut, cukup sekadar melepasi pusingan pertama, sebaliknya melihat peluang lebih cerah untuk dirinya melangkah jauh dalam acara keirin. Kemenangan Fatehah di Mexico membolehkan atlet berusia 24 tahun itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba wanita pertama negara meraih pingat pada kejohanan berkenaan dan ia juga pingat pertamanya sejak mula beraksi di Piala Dunia UCI pada 2007.

Secara keseluruhan, Fatehah menduduki tempat kelima dengan mengumpul 523 mata di belakang pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze (668) hasil penyertaan di tiga siri Piala Dunia.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment