Wednesday, February 19, 2014

Gimnastik Asia, Jadi Medan MGF Intai Slot Ke Olimpik Remaja

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-13 yang bermula Jumaat ini di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, bakal menjadi medan terbaik atlet gimnas muda negara meraih slot tunggal ke Sukan Olimpik Remaja 2014 di China, Ogos depan.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) A. Razak Mat Amin berkata, kejohanan yang melibatkan penyertaan 16 negara Asia itu menawarkan empat slot ke Sukan Olimpik Remaja 2014, iaitu tiga gimnas terbaik dalam acara individu selain acara berkumpulan.

"Kita akan mempertaruhkan 10 gimnas pada kejohanan kali ini di mana empat orang akan bertanding dalam acara individu manakala selebihnya akan bersaing dalam acara berkumpulan.

"Saya berkeyakinan bahawa barisan gimnas negara mampu memberikan persembahan cemerlang memandangkan setiap negara Asia yang layak ke temasya sukan itu nanti hanya dibenarkan menghantar satu wakil," katanya.

A. Razak berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan jalur gemilang kepada kontinjen negara ke kejohanan berkenaan yang disempurnakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong di sini, hari ini.

A. Razak berkata barisan gimnas muda negara sudah menjalani latihan sejak beberapa tahun yang lepas sebagai persediaan awal menghadapi kejohanan berkenaan di bawah kendalian jurulatih Petrina Low serta bekas gimnas negara, Dr Farrah Hani Imran.

Sementara itu, Farrah Hani yang dilantik sebagai Pengurus Pasukan Kebangsaan untuk kejohanan itu melahirkan kenyakinan bahawa gimnas negara akan menunjukkan persembahan yang bagus bagi merebut peluang satu slot ke kejohanan itu.

"Disebabkan hanya terdapat empat slot diperuntukkan kepada negara Asia, saya berharap gimnas kita akan mengambil peluang ini untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka.

"Saya tidak meletakkan sebarang harapan kepada gimnas tertentu memandangkan setiap seorang daripada mereka mempunyai kekuatan dalam kategori masing-masing," kata Farrah Hani.

Sejumlah 200 gimnas dan pegawai yang mewakili 16 negara Asia akan menyertai kejohanan berkenaan iaitu Kazakhstan, Krygstan, Uzbekistan, Mongolia, China, Jepun, Korea Utara, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Hong Kong, Indonesia, Taiwan, Lubnan dan Syria serta Malaysia selaku tuan rumah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment