Friday, February 28, 2014

FAM Sedia Pertimbangkan Hasrat Marcel Desailly Bimbing Skuad Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia mempertimbangkan hasrat bekas Ketua Pasukan antarabangsa Perancis, Marcel Desailly untuk menggalas jawatan sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sekiranya Desailly benar-benar berminat, FAM akan meneliti kesesuaian pemain kelahiran Ghana itu bersama calon lain yang terdapat dalam senarai FAM.

"Nama Desailly ada dalam senarai panjang yang berminat untuk membimbing skuad bola sepak negara namun jika dibandingkan dengan calon lain beliau tidak mempunyai pengalaman sebagai jurulatih.

"Namun beliau merupakan seorang pemain yang baik serta berpengalaman dan saya tidak menolak kemampuan Desailly untuk menjadi jurulatih yang baik, cuma kita memerlukan seorang jurulatih yang lebih berpengalaman dalam aspek kejurulatihan," titah baginda kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran buku bertajuk 'Beyond Dreams' nukilan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Dr Peter Velappan di Wisma OCM, di sini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Desailly menyatakan minat untuk menjadi jurulatih bola sepak kebangsaan bagi skuad Malaysia pada masa depan apabila jawatan itu kosong selepas FAM tidak melanjutkan kontrak Datuk K. Rajagobal yang tamat pada 31 Dis tahun lepas.

Sementara itu, Tengku Abdullah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan bertanding merebut jawatan Presiden FAM untuk penggal 2014-2018.

Namun demikian, Tengku Abdullah bertitah akan hanya berbuat demikian sekiranya baginda mendapat pencalonan dan sokongan daripada anggota gabungan badan persatuan induk tersebut.

"Sebagai Timbalan (Presiden FAM), kalau ada mana-mana pihak yang menyatakan saya layak jadi Presiden (FAM), saya akan mempertimbangkan.

"Sebenarnya, saya hanya cuba mempertahankan jawatan saya sebagai Timbalan Presiden FAM sahaja buat masa ini," titah baginda.

Sebelum ini, Tengku Abdullah dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) muncul sebagai calon popular untuk mengisi jawatan Presiden FAM yang bakal dipertandingkan dalam Mesyuarat Kongres FAM pada 25 Mei depan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa memberikan pendapat bahawa Tunku Ismail layak untuk dilantik sebagai presiden baharu FAM selain mencadangkan nama lain daripada kalangan pemimpin tertinggi persatuan bola sepak negeri-negeri lain.

Presiden FAM ketika ini ialah Sultan Ahmad Shah, ayahanda Tengku Abdullah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment