Monday, February 24, 2014

‘FAM perlu pembaharuan’


Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk seorang presiden baru mengemudi tampuk pemerintahan FAM apabila jawatan itu dipertandingkan pada kongres badan induk itu pada 25 Mei depan.
Bukan bermaksud menidakkan sumbangan presiden ketika ini iaitu Sultan Ahmad Shah, namun bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, situasi semasa sememangnya memerlukan satu pembaharuan dalam kepimpinan bola sepak di negara ini.

Annuar berkata, sekiranya semua pihak mahukan perubahan, maka beliau mencabar calon-calon yang berkelayakan serta berkaliber supaya tampil ke depan dan tidak hanya terus menerus menyalahkan presiden sedia ada kerana baginda berada di tampuk kepimpinan kini juga adalah kerana mendapat sokongan daripada ahli gabungan FAM.

“Sebenarnya daripada segi statut FAM, memang daripada dulu pun jawatan ini (presiden) dipertandingkan, masalahnya ramai yang takut nak tawarkan diri.

“Saya fikir untuk kali ini, harap ada keberanian daripada pihak badan gabungan, tak memadai dengan hanya mengeluh sepanjang masa.

“Kalau ada yang berkemampuan, mereka harus dicalonkan. Bola sepak Malaysia kini perlukan satu lonjakan yang besar.
FotoTUNKU Ismail layak jika menjadi presiden yang baru.
“Masanya sudah sampai, bercakap pun sudah lama dan macam-macam yang sudah kita lalui. Tapi kalau sampai pemilihan kita balik kepada cara lama, maka tidak akan ada apa-apa perubahan,” katanya ketika ditemui pada majlis jersi AFC untuk pasukan Kelantan, semalam.

Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menghormati sumbangan besar yang sudah dicurahkan oleh Sultan Ahmad Shah, tetapi beliau juga percaya Presiden FAM itu sudah bersedia untuk membuka laluan kepada calon-calon baru.
Ditanya siapakah calon yang beliau rasakan layak untuk mengambil alih jawatan itu, Annuar secara terbuka menyebut beberapa, antaranya termasuklah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya rasa jawatan ini harus dipegang oleh salah satu presiden badan gabungan. Presiden PBNJ boleh, Presiden Sabah (Persatuan Bola Sepak Sabah), Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Presiden Kuala Lumpur (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur),” katanya.

Annuar tidak layak untuk bertanding pada Kongres FAM untuk penggal 2014-2018 kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan sejak April 2012 kerana mengkritik skuad negara bimbingan Datuk K Rajagobal ketika itu.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment