Tuesday, February 11, 2014

FAM, FA perlu kerjasama tangani gejala ‘hooligan’


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Negeri (FA) disarankan agar dapat berkerja sama dalam membantu menangani gejala samseng bola sepak atau budaya ‘hooligan’ yang kini menjadi penyakit penyokong bola sepak tempatan.
Bekas pemain kebangsaan era 70an dan 80an, Hassan Sani menggesa agar FAM mengambil serius dan bertindak pantas mengawal masalah ini kerana ia mampu merencatkan kehangatan sukan paling popular itu.

“FAM kena cepat bertindak. Nanti takut tidak ada penyokong yang mahu datang ke stadium kerana bimbangkan keselamatan diri mereka. Jika dibiarkan nanti, mesti stadium kosong dan hilanglah kemeriahan liga bola sepak negara.

“Dulu pada zaman saya memang ada penyokong yang fanatik, tapi tidaklah sampai bergaduh hingga mencederakan pihak lain.
FotoHASSAN Sani

“Penyokong kenalah berdisiplin dan profesional. Menang atau kalah itu adat pertandingan, jadi terimalah dengan semangat kesukanan. Saya minta FAM segera mencari jalan agar senario seumpama itu tidak berulang lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Nada yang sama juga dikongsi seorang lagi bekas tonggak utama pasukan negara Bakri Ibni yang pernah menjulang nama Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 bagi layak ke Olimpik 1980 Moscow.

“Memang sedih bila saya dapat tahu sudah ada budaya tidak sihat seperti itu di kalangan penyokong-penyokong. Saya pun pelik dan hairan dengan segelintir penyokong yang suka ikut trend barat.

“Kita ada budaya kita sendiri yang lebih sopan dan baik. Saya ingin mencadangkan kepada FAM supaya mengadakan anugerah penyokong paling berdisiplin bagi setiap perlawanan liga tempatan.

“Saya tahu anugerah seperti itu memang sudah ada, tetapi ia dinilai untuk setahun. Apa kata kalau dibuat setiap perlawanan di stadium masing-masing. Manalah tahu daripada inisiatif itu boleh mendidik penyokong lebih berdisiplin setiap kali hadir ke stadium,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak terutamanya FAM serta FA dan kelab penyokong masing-masing perlu duduk semeja dan berbincang mencari jalan keluar agar isu penyokong biadap ini dapat dibendung daripada terus merebak.



Oleh Mohd Firdaus Hashim, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment