Friday, February 07, 2014

FAM bersedia panggil TMJ

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan memanggil Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya perlu untuk membantu siasatan atau dikenakan pertuduhan berhubung insiden di dalam terowong membabitkan pemain import T-Team, Evaldo Goncalves sewaktu perlawanan Piala FA di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya tidak akan memilih bulu kepada mana-mana pihak demi mencari keadilan, dan ini termasuk terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung insiden di dalam terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos itu kerana Jawatankuasa Tatatertib serta Sekretariat FAM sedang melakukan siasatan.

"FAM melalui Sekretariat dan Jawatankuasa Tatatertib akan membuat susulan dalam tempoh yang terdekat terhadap isu di dalam terowong mengikut proses setelah meneliti semua laporan yang kami dapat, jika terdapat bukti menunjukkan adanya pergaduhan dan pertelingkahan, kes ini akan dibawa untuk perbicaraan.

"Perlu saya nyatakan di sini, tiada sebarang kompromi dalam hal ini dan sekiranya FAM perlu membawa Tunku Mahkota Johor menghadiri mesyuarat tatatertib, kami akan buat.

"Saya sedia maklum laporan polis dalam hal ini telah dibuat, cuma FAM akan bertindak mengikut bidang kuasa kami dan hal lain diserahkan kepada pihak keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM semalam hanya membincangkan mengenai status keputusan perlawanan antara kedua-dua pasukan dan akan menetapkan tarikh persidangan selewat-lewatnya pada minggu hadapan jika terdapat kes dalam laporan insiden terbabit.
Pihak pengurusan T-Team mendakwa Evaldo telah ditumbuk oleh pegawai pengurusan tertinggi PBNJ ketika menuju ke bilik persalinan sementara jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo ditendang di bahagian kemaluan.

Susulan kejadian itu, T-Team menerusi Ketua Pegawai Operasi, Syahrizan Mohd. Zain membuat laporan polis di Kuala Terengganu atas faktor keselamatan pemain pada 3 Februari lalu.

Perkembangan kes berkenaan bertambah menarik apabila jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez pula membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Baharu Selatan pada hari yang sama selepas mendakwa kolar bajunya ditarik oleh Impagliazzo dan ditolak oleh salah seorang pemain T-Team.
 
 
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140207/su_02/FAM-bersedia-panggil-TMJ#ixzz2sb7LTpCd

No comments:

Post a Comment