Wednesday, February 12, 2014

FAM Bakal Lancar Kempen Tangani Gejala Samseng Bola Sepak

PETALING JAYA, 11 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal melancarkan kempen anti-keganasan bagi menangani gejala samseng bola sepak yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kempen berkenaan yang akan digerakkan dalam tempoh terdekat bertujuan untuk memastikan Liga Malaysia menjadi liga yang selamat untuk ditonton oleh semua peminat bola sepak tempatan yang hadir ke stadium.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama erat daripada semua pihak berkepentingan termasuk persatuan bola sepak negeri dan kelab, pegawai pasukan, pemain serta penyokong sendiri bagi menjayakan kempen berkenaan.

"FAM akan bekerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi memastikan kita dapat membendung gejala ini (samseng bola sepak) supaya tidak menular lebih jauh lagi termasuk provokasi di laman sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman Kejohanan Piala Futsal Felda-FAM 2014 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata gejala samseng bola sepak turut mendapat perhatian daripada pengurusan tertinggi FAM termasuk presidennya Sultan Ahmad Shah dan timbalannya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang turut bimbang dengan perkembangan tersebut.

Dalam pada itu, Hamidin berkata siasatan mengenai insiden dalam terowong yang membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu, 1 Feb lepas berada dalam fasa akhir sebelum didedahkan kepada umum.

Beliau meminta semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan memandangkan FAM masih menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden berkenaan sebelum menghadapkan mereka yang terlibat kepada Jawatankuasa Tatatertib.

"Jadi, saya minta kesemua pihak dapat bersabar...kita akan mengeluarkan surat pertuduhan (kepada pasukan terlibat) dalam tempoh terdekat.

"(Sama ada ada kes atau tidak), kita akan maklumkan kerana insiden berkenaan melibatkan banyak kategori...bila dah siap (siasatan), kita akan beritahu," katanya.

Pada masa yang sama, Hamidin berkata FAM akan mengeluarkan kertas pertuduhan terhadap beberapa pasukan yang gagal memastikan kawalan keselamatan yang mencukupi di stadium masing-masing.

Antaranya ialah pertemuan Liga Super antara Perak dan JDT di Larkin, 18 Jan lepas yang menyaksikan cermin kereta pengurus pasukan Perak dipecahkan selain aksi Pahang-JDT di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat yang melibatkan pergaduhan kedua-dua penyokong di luar perkarangan stadium selepas berakhirnya perlawanan itu.

"Dua kes itu kita akan bawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM (dalam tempoh terdekat) untuk tindakan selanjutnya," kata Hamidin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment