Monday, February 10, 2014

Budaya Samseng Bola Sepak Fenomena Amat Merisaukan - Ong Kim Swee

MELAKA, 9 Feb (Bernama) -- Budaya samseng bola sepak yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini merupakan fenomena yang amat merisaukan dan perlu dibanteras, kata Ketua Jurulatih Sementara Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Datuk Ong Kim Swee.

Ketua Jurulatih Harimau Muda A itu berkata semua penyokong bola sepak di negara ini seharusnya mempunyai mentaliti positif apabila menunjukkan sokongan terhadap pasukan mereka bagi memastikan keharmonian dalam bola sepak di Malaysia dapat dikekalkan.

"Saya amat terkilan apabila penyokong walaupun dari negeri berbeza begitu (bergaduh sesama sendiri), kita perlu tahu bola sepak ini menang kalah adat permainan tetapi keharmonian itu perlu dikekalkan.

"Mungkin bukan semua (penyokong) hanya segelintir tetapi yang mustahak mentaliti positif, pasukan kita menang atau kalah kita tetap sokong dengan harmoni," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan antara Melaka United dan Harimau Muda A di Stadium Hang Jebat di sini Sabtu malam.

Perlawanan yang turut disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron itu berkesudahan seri 1-1, dengan Amir Shahreen Abd Mubin menjaringkan gol Melaka United pada minit ke-24 manakala gol Harimau Muda A dijaringkan Mohd Azrif Nasrulhaq pada minit terakhir perlawanan, minit ke-90.

Insiden terbaharu pergaduhan antara penyokong berlaku pada Jumaat lepas apabila seorang penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) cedera di kepala dipercayai akibat dibaling objek keras selepas berlaku provokasi antara kumpulan penyokong JDT dan Pahang di Stadium Darul Makmur dalam aksi Liga Super berkesudahan Pahang menewaskan JDT 3-2.

Mengulas tentang persembahan anak buahnya pada perlawanan persahabatan itu, Kim Swee berkata ia merupakan permulaan yang baik dalam persediaan pasukan Harimau Muda A menghadapi Liga Queensland di Australia bulan depan.

"Kita telah merekrut beberapa pemain baharu daripada Harimau Muda B dan C juga pemain luar, mereka ini tunjukkan komitmen yang cukup baik dalam perlawanan sejak kita berlatih tiga minggu lepas dan kita ada dua lagi perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Australia," katanya.

Beliau berkata Harimau Muda A bermain di Australia bagi tujuan pendedahan kepada permainan bola sepak bertaraf tinggi dan percaya permainan anggota pasukan itu akan bertambah baik selepas bersaing dalam liga di sana nanti.

Ditanya perancangannya untuk pasukan kebangsaan, tanpa mendedahkan perancangannya dengan teliti, Kim Swee berkata beliau akan mengumpul pemain terbaik negara pada satu tarikh yang akan ditetapkan untuk aksi persahabatan menentang Filipina pada 1 Mac depan sebelum bertemu Yaman pada 5 Mac dalam aksi kelayakan Piala Asia.

Sementara itu, Idris memohon kerjasama semua penyokong Melaka United supaya tidak melakukan perkara yang memberi impak negatif kepada pasukan itu seperti membakar suar, bermain mercun dan bergaduh dengan penyokong pasukan lawan.

"FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sentiasa mengawasi secara rapat insiden seperti ini, dalam pada kita gigih mencari dana untuk mengisi tabung pasukan jangan pula ada penyokong kita yang bocorkan dana untuk membayar denda dengan melakukan perkara sedemikian," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment