Tuesday, February 18, 2014

BAM Perlu Pilih Calon Sesuai Untuk Jawatan Pengarah Kejurulatihan, Kata Khairy

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memilih dengan baik calon bagi jawatan Pengarah Kejurulatihan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Saya percaya BAM akan membuat keputusan yang terbaik dari segi pelantikan Pengarah Kejurulatihan mereka.

"Sebagai Pengarah Kejurulatihan ini, tugasnya lebih menyeluruh daripada jurulatih biasa. Beliau akan memantau dan menyelaras seluruh program kejurulatihan dan juga pembangunan di bawah BAM.

"Jadi mereka (BAM) perlulah memilih orang yang sesuai, yang ada pengalaman dan juga yang ada pengetahuan untuk bukan sekadar menjadi seorang jurulatih sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan "Buku Tahunan PGM Tour 2013" di Kelab Golf Kinrara, Bandar Kinrara dekat sini, hari ini.

Khairy berkata beliau akan bertemu dengan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dalam masa terdekat membincangkan mengenai hala tuju BAM.

Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, sebelum ini telah diwar-warkan bakal dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan BAM.

"Jika BAM memilih Misbun...beliau seorang jurulatih yang hebat dan telah terbukti. Beliau juga telah melahirkan ramai pemain bertaraf antarabangsa.

"Untuk jawatan pengarah ini, saya serah kepada BAM untuk buat keputusan. Misbun sendiri pun belum pasti memegang jawatan ini," kata Khairy.

Laporan akhbar baru-baru ini menyebut, BAM sedang menilai beberapa calon di kalangan jurulatih tempatan dan luar negara, termasuk Misbun.

Usaha BAM itu dibuat selepas mereka gagal mendapatkan khidmat bekas jaguh perseorangan Denmark, Morten Frost Hansen, yang dikatakan meminta gaji sangat tinggi.

Terdahulu, Khairy dibawa melawat 'PGM Peak Performance Academy', sebuah akademi yang melatih pemain-pemain muda untuk menjadi pemain golf profesional.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment