Friday, February 14, 2014

Azlan Mahu Rakyat Di Perlis Bersedia Sambut Lebih 8,000 Atlet, Pegawai Sukma

KANGAR, 13 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Azlan Man hari ini mahu rakyat di negeri itu mempersiapkan diri dari sekarang bagi menyambut kehadiran lebih 8,000 atlet serta pegawai di Sukan Malaysia (Sukma) ke-17, 100 hari lagi.

Katanya rakyat harus memainkan peranan sebaik mungkin sebagai menghargai peluang itu memandangkan ini kali pertama Perlis menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Peluang sebegini bukan sentiasa tiba dan Perlis mungkin perlu tunggu 30 tahun lagi untuk jadi tuan rumah, katanya berucap dalam Perhimpunan 100 Hari Menjelang Sukma Perlis 2014, di sini.

Katanya beliau mahu semua atlet dan pegawai sukan yang menjadi tetamu Perlis sepanjang temasya yang dijadualkan bermula 24 Mei itu membawa pulang kenangan manis.

Beliau juga mengulangi jaminan semua kemudahan sukan yang sedang dibina untuk temasya itu dapat disiapkan sebelum Sukma bermula.

Apabila Sukma berakhir, saya berharap kemudahan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dan dijaga sebaik mungkin, katanya.

Dalam majlis itu Azlan turut menyerahkan 24 persatuan sukan di Perlis kepada 'bapa angkat' yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga menyampaikan insentif kerajaan negeri berjumlah RM2,000 hingga RM20,000 kepada ahli sukan dan persatuan atas kejayaan mereka dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment