Friday, February 21, 2014

Arul pilih 22 pemain terbaik


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara Arul Selvaraj perlu membuat keputusan tepat memilih 22 pemain terbaik sepanjang saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) untuk dipanggil menyertai kem negara buat kali pertama dalam usahanya membentuk skuad baru.
Bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu nyata kesuntukan masa untuk memilih barisan pemain terbaik dan atas faktor itu, beliau perlu membuat keputusan bijak.

“Memang jika mengikut perancangan awal saya nak pilih seramai 40 hingga 45 pemain sebelum mengurangkannya kepada 25 hingga 30.

“Tapi saya sudah tiada masa untuk melakukan proses pemilihan seperti itu kerana perlu membentuk pasukan seawal mungkin. Sebab kami akan menyertai saingan Divisyen 1 (Liga Hoki Malaysia) bulan depan. “Saya akan memilih 22 pemain daripada penilaian dalam saingan liga dan tiga lagi pemain berdasarkan pemilihan di luar liga untuk menjadikan keseluruhan 25 pemain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Arul berkata, dengan Piala Remaja Asia, satu-satunya saingan yang menawarkan tiket ke Piala Dunia 2016 berlangsung pada tahun depan di lokasi yang belum diumumkan lagi, beliau perlu mempersiapkan pasukan mantap seawal mungkin.

“Saya bukan hanya memilih pemain hebat dengan skil di atas padang, tapi mereka yang juga bijak sebab hoki moden memerlukan setiap pemain membuat keputusan dengan cepat,” katanya.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment