Thursday, February 27, 2014

126 Pelumba Hangatkan LTdL 2014



LANGKAWI, 26 Feb (Bernama) -- Seramai 126 pelumba dari 21 pasukan disambut penuh gemilang pada acara pengenalan pasukan Le Tour de Langkawi 2014 di Dataran Lang, di sini Rabu malam.

Acara pengenalan pasukan yang buat julung kali diadakan pada waktu malam disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Pada majlis pengenalan itu, penganjur LTdL turut memberi penghormatan kepada mendiang Youm Jung Hwan, pelumba dari pasukan KSPO dari Korea yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 19 Feb lepas.

Susulan itu bagi menghormati mendiang, pasukan terbabit menarik diri dari LTdL 2014 dan penganjur LTdL juga bersetuju untuk tidak menggantikan pasukan lain bagi mengisi kekosongan itu.

Majlis pelancaran diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Esok, 126 pelumba akan berada di garisan permulaan yang bakal menyaksikan persaingan sengit mengungguli peringkat pertama di pulau legenda.

LTdL 2014 menjanjikan kehangatan dalam persaingan merebut tiga jersi utama iaitu Jersi Kuning selaku juara keseluruhan, Jersi Merah untuk Raja Bukit, Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dan Jersi Biru bagi Raja Pecut.

Edisi ke-19 masih mengekalkan 10 peringkat bermula dari Langkawi sejauh 101.1km, Sungai Petani-Taiping (132.5km), Kampar-Kuala Lumpur (166.5km), Subang-Genting Highlands (110.9km), Karak-Rembau (139.3km) dan Melaka-Pontian (199.1km).

Ini diikuti Kota Tinggi-Pekan (230.1km), Kuantan-Marang (202.2km), Bandar Permaisuri-Kuala Terengganu (111.1km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (103.1km).


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment