Friday, February 14, 2014

104 Atlet Asia Intai Peluang Ke Olimpik Remaja Di Nanjing

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Sebanyak 104 gimnas rantau Asia mengintai peluang untuk beraksi pada Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China Ogos ini.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) A. Razak Mat Amin berkata mereka mewakili 17 negara Asia yang telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Gimrama Remaja Asia ke-13 bermula 21 hingga 24 Feb ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Selain Malaysia, antara negara yang menyertai acara itu ialah Jepun, Korea Selatan, China, Syria, Qatar, Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Malaysia menampilkan 10 gimnas pada kejohanan itu. Mereka perlu menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri untuk mendapat tempat mewakili negara ke Sukan Olimpik Remaja nanti.

"Laporan yang diterima daripada jurulatih menunjukkan mereka mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Remaja. Saya harap mereka menggunakan peluang itu sebaik-baiknya," kata A. Razak kepada Bernama hari ini.

Kejohanan empat hari itu melibatkan gimnas berusia antara 13 dan 15 tahun yang akan mengambil bahagian dalam kategori individu dan berpasukan.

Menurut A. Razak, kejohanan itu juga menjadi medan pendedahan dan persediaan selain mencungkil bakat baharu untuk menghadapi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dan Sukan Olimpik 2016, di Rio de Janeiro, Brazil.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment