Tuesday, January 07, 2014

Ujian penilaian fizikal

SERAMAI 45 pemain telah dipilih oleh jurulatih skuad hoki senior negara, Paul Revington untuk menjalani ujian penilaian fizikal bermula Jumaat ini.

Penilaian awal itu dibuat bagi memilih pemain yang akan beraksi pada kempen Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda Mei depan.

Selain tonggak senior, beberapa pemain muda daripada skuad Projek 2013 kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah turut disenaraikan.

"Kuota 45 pemain itu juga terdiri daripada 13 pemain daripada skuad remaja negara. Mereka akan menjalani penilaian fizikal bermula minggu ini.

"Daripada penilaian itu, 35 pemain akan dipilih sebelum nama mereka diumumkan pada Jumaat depan (17 Januari)," jelas Revington.

Pemain remaja seperti Muhd. Fitri Saari, Muhammad Firhan Ashaari, Muhammad Rashid Baharom, Faiz Helmi Jali, Meor Mohamed Azuan, Muhd. Izad Hakimi Jamaluddin dan Mohamad Syamim Mohd. Yusof disenaraikan kerana pernah berada dalam skuad senior sebelum ini.

Enam lagi pemain remaja yang terpilih ialah G. Kavin Kartik, Joel Samuel Van Huizen, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Muhammad Azri Hassan, Shazril Irwan Nazli dan Muhammad Hafizuddin Othman.

Revington turut menyenaraikan seorang pemain muda berusia 16 tahun, Nor Shafiq Sumantri.
"Setelah mengadakan perbincangan dengan Dhaarma, kami mendapati Syafiq telah menampilkan prestasi yang begitu cemerlang (pada Piala Tun Abdul Razak) baru-baru ini," jelas Revington.

Skuad senior negara akan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah pada 13 hingga 22 Mac di Ipoh, Perak dan Cabaran Juara-Juara 1 (25 Apri hingga 4 Mei) di Kuantan, Pahang sebelum 'terbang' ke Belanda.

Selepas Piala Dunia, anak-anak buah Revington akan berlepas ke Scotland untuk menyertai Sukan Komanwel (23 Julai hingga 3 Ogos) dan Sukan Asia di Korea Selatan September depan.


KOSMO

No comments:

Post a Comment