Wednesday, January 15, 2014

Tirai Sukan Para Asean Dibuka Dengan Penuh Berwarna-warni

NAYPYITAW (MYANMAR), 14 Jan (Bernama) -- Stadium Utama Wunna Theikdi sekali lagi bermandikan cahaya penuh warna-warni serta peserta terpukau dengan sentuhan kemesraan tuan rumah Myanmar pada upacara perasmian temasya Sukan Para Asean di sini, Selasa malam.

Tirai edisi ketujuh temasya bertemakan 'Hijau, Bersih dan Persahabatan' dibuka dengan rasmi oleh Presiden Myanmar, U Thein Sein, selepas negara itu menjadi tuan rumah Sukan SEA 2013, Disember lepas.

Ketibaan presiden dan isteri Daw Khin Khin Win dan tetamu kehormat termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan disambut dengan percikan bunga api.

Ribuan penonton kemudian dihiburkan dengan persembahan muzikal tradisional oleh sekumpulan pelajar sekolah dan universiti dengan membentuk formasi dengan mengenakan pelampung unik beraneka warna.

Ini disusuli oleh perarakan masuk 10 negara perserta ke stadium mengikut aturan abjad iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipuna, Singapura, Thailand, Vietnam dan akhirnya tuan rumah, Myanmar.

Kontinjen Malaysia dengan pakaian 'Harimau Malaya' diketuai ketua kontinjen, Datuk Zakaria Muda dan pembawa bendera 'Jalur Gemilang, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Sebanyak 151 atlet termasuk 23 atlet wanita akan menggalas cabaran negara dalam 205 acara di 11 daripada 12 jenis sukan dipertandingkan sepanjang temasya seminggu itu.

Sebanyak 1,800 mengambil bahagian pada edisi kali ini yang pertama kali dihoskan oleh Myanmar.

Malaysia meletakkan sasaran 50 pingat emas pada temasya kali ini.

Pada Sukan Para Asean lepas di Solo, Indonesia, pada 2011, Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan merangkul 51 emas, 36 perak dan 45 gangsa.

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment