Tuesday, January 21, 2014

Selamat Tinggal Myanmar', Jumpa Di Singapura Pada 2015


NAYPYITAW, 21 Jan (Bernama) -- Selepas 1,800 atlet paralimpik daripada 10 negara bersaing selama lima hari dalam suasana keharmonian, edisi ketujuh Sukan Para Asean akhirnya melabuhkan tirai Isnin malam.

Upacara penutupan temasya dengan tema 'Persahabatan, Persamaan dan Perpaduan' berlangsung meriah dalam suasana warna warni di Stadium Utama Wunna Theikdi di sini.

Ribuan penonton yang hadir disajikan dengan persembahan hiburan oleh kanak-kanak kurang upaya diikuti tarian tradisional Myanmar serta persembahan muzikal oleh murid-murid dan pelajar universiti dengan gerakan pelbagai rentak.

Upacara penutupan tersebut disempurnakan oleh Naib Presiden Myanmar, Nyan Tun.

Majlis tersebut disusuli oleh perarakan 10 kontinjen yang mengambil bahagian iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan tuan rumah, Myanmar.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Datuk Zakaria Musa dengan mengenakan jersi kebangsaan 'Harimau Malaya' dan pemanah pingat perak, Sukan Paralimpik London, Hasihin Sanawi diberi penghormatan untuk membawa bendera Jalur Gemilang.

Selepas acara perarakan, majlis diteruskan dengan obor temasya dipadamkan dan acara menurunkan bendera rasmi temasya, bendera Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) dan bendera Myanmar selaku tuan rumah, menandakan berakhirnya temasya sukan tersebut.

Presiden APSF Datuk Zainal Abu Zarin kemudian menerima bendera persekutuan itu daripada Menteri Sukan Myanmar, U Thint San sebelum menyerahkan kepada wakil Singapura, selaku tuan rumah edisi 2015.

Penyanyi Singapura, Kevin Chong, yang cacat penglihatan, kemudian menyampaikan lagu bertajuk 'Treasure Every Moment'.

Mempertandingkan 12 jenis sukan pada edisi kali ini, Indonesia buat pertama kali muncul juara dengan merangkul 99 pingat emas, 69 perak dan 49 diikuti Thailand dengan 96 emas, 82 perak dan 70 gangsa.

Malaysia menghuni tempat ketiga dengan kutipan 50 emas, 49 perak dan 41 gangsa.

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment