Thursday, January 09, 2014

"Saya Harap Tidak Lagi Timbul Salah Faham," Kata Dharma Raj

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Muhammad Dharma Raj Abdullah berharap kehadirannya sebagai pembantu jurulatih dalam skuad hoki senior negara tidak menimbulkan sebarang salah faham atau kekeliruan sehingga menjejaskan persiapan pasukan menghadapi Kejohanan Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, Jun ini.

Bekas jurulatih skuad remaja itu berkata tumpuannya adalah untuk membantu ketua jurulatih Paul Revington memastikan pemain skuad senior menampilkan prestasi terbaik masing-masing pada Piala Dunia.

"Banyak teka-teki mengatakan sesuatu akan berlaku, tetapi saya berharap tidak berlaku apa-apa krisis. Misi saya hanya mahu melihat pasukan negara berjaya sahaja. Saya ambil tugas ini untuk bantu pasukan menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis meraikan skuad remaja negara yang berjaya menduduki tempat keempat pada Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, Disember lepas, di sini Rabu.

Semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah melantik Dharma Raj sebagai salah seorang pembantu jurulatih kepada Revington.

Sebelum ini, pada Jun tahun lepas, Revington secara mengejut menghantar surat peletakan jawatannya kerana mendakwa tidak mampu lagi bekerjasama dengan Dharma Raj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan yang didakwa sering campur tangan semasa mengendalikan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Revington, jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu, menarik balik keputusan peletakan jawatannya beberapa hari kemudian selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Revington melahirkan keyakinan bahawa Dharma Raj akan membantu memantapkan persediaan skuad negara bagi menghadapi kempen Piala Dunia.

"Beliau telah melakukan tugas yang hebat pada 2012 dan 2013 sebagai jurulatih skuad remaja. Saya memberi pujian kepada beliau dan kami akan bekerja sebagai satu pasukan dengan memberi tumpuan kepada Piala Dunia," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment