Monday, January 27, 2014

Sasar 10 terbaik dunia


Kuala Lumpur: Selepas melonjak tiga anak tangga untuk menduduki ranking ke-14 dunia pada minggu lalu, gandingan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah yakin mampu berada pada kelompok 10 terbaik sebelum berakhir tahun ini.

Kejayaan muncul juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia baru-baru ini bukan saja mengubah persepsi ramai terhadap mereka berdua yang sebelum ini kurang dikenali, malah meletakkan mereka semakin hampir untuk berada setaraf dengan gandingan beregu hebat dunia yang lain.

“Ketika ini tahap keyakinan kami berdua lebih tinggi, terutama ketika sesi latihan. Malah kami juga sudah nampak sasaran tertentu pada kejohanan yang akan disertai selepas ini.

“Kalau kami berdua boleh mengekalkan prestasi sekarang, saya rasa tidak mustahil untuk kami mengambil alih beregu utama negara milik Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia sebelum berakhir tahun ini,” kata V Shem.

FotoKHIM Wah (kiri) dan V Shem lebih yakin ketika latihan.

Pemain berusia 25 tahun yang digandingkan semula dengan Khim Wah buat kali ketiga itu bagaimanapun berkata, mereka berdua hanya mahu menumpukan kepada setiap kejohanan yang disertai terlebih dulu.

“Kami mahu terus fokus pada aksi di atas gelanggang dan tidak mahu memikirkan perkara lain.

“Lagipun banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya sendiri rasa kurang kemas ketika bertahan dan tidak konsisten dalam permainan jaring,” kata V Shem.

Meskipun sudah memenangi saingan Siri Super Premier, V Shem serta Khim Wah tidak memandang mudah saingan Grand Prix Gold (GP) Jerman yang akan disertai mereka bermula 25 Februari depan.

Namun V Shem mengaku GP Jerman cukup penting untuk mereka berdua sebelum berkira-kira untuk beraksi pada saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung pada 4 Mac.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment