Thursday, January 09, 2014

Sasar 10 terbaik dunia


Kuala Lumpur: Meskipun skuad hoki negara bakal melakukan penampilan pertama di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir pada 2000, anak buah Paul Revington diletakkan sasaran tinggi untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan pada pentas tertinggi itu di tempat ke-10.
Bakal berlangsung di The Hague, Belanda pada 31 Mei hingga 15 Jun depan, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sasaran itu dianggap realistik selepas mengambil kira pencapaian serta kekuatan skuad negara ketika ini.

“Secara jujur, saya mahu mereka beraksi pada tahap terbaik. Kita sudah menetapkan sasaran iaitu menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik.

“Piala Dunia saingan yang cukup berbeza dengan tahap permainan sangat tinggi.

“Mungkin dengan kemasukan barisan pemain remaja, ia akan memberi satu kelainan serta tambahan kekuatan kepada pasukan kebangsaan,” katanya.

Tengku Abdullah mengakui harapan terhadap skuad senior negara sangat tinggi, apatah lagi selepas pasukan remaja berjaya melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan MHC dengan menamatkan saingan di tempat keempat Piala Dunia Remaja di New Delhi, bulan lalu.

“Skuad remaja kita sudah melepasi sasaran. Sekarang sama-sama kita harapkan skuad senior juga beraksi cemerlang,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan serta pemberian insentif kepada skuad remaja negara yang dianjurkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) semalam.



Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment