Tuesday, January 28, 2014

Revington pamer sikap profesional

SIKAP profesional bekas ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Paul Revington harus dipuji.

Walaupun 'kerusinya' telah diambil alih oleh Muhammad Dhaarma Raj Abdullah disebabkan masalah kesihatan yang dialami, Revington masih mahu memberikan sumbangan kepada skuad negara.

Buktinya, pengendali kelahiran Afrika Selatan itu dilihat turun membantu Dhaarma Raj semasa sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Dhaarma Raj berkata, Revington tetap bersemangat untuk membantu beliau dan skuad negara sehingga kontraknya yang masih berbaki tiga bulan tamat pada Mac depan.

Menurut Dhaarma Raj, tujuan Revington 'turun padang' adalah kerana jurulatih berusia 41 tahun itu masih menghormati kontrak dengan Persekutuan Hoki Malaysia (MHC).

"Hari ini (semalam) merupakan hari pertama beliau (Revington) turun ke padang. Beliau tidak perlu lagi menanggung tekanan yang dialami sebagai ketua jurulatih kerana saya yang perlu menanggungnya sekarang.

"Saya akan menggunakan khidmatnya selagi beliau masih berada di sini sehingga Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1. Beliau mungkin boleh membantu saya dari segi pemberian idea kerana dia pakar dalam bidang taktikal.

"Saya amat berterima kasih dengan kesungguhan ditunjukkan beliau," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan skuad negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan MHC akan menawarkan jawatan sebagai Penasihat Teknikal kepada Revington.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Dhaarma Raj berkata, ia hanyalah sekadar khabar angin kerana Revington tidak pernah ditawarkan sebarang jawatan pada masa ini.

"Beliau tidak ditawarkan apa-apa kontrak baharu kerana beliau masih mempunyai notis peletakan jawatan selama tiga bulan.

"Selepas tamat notis tersebut, mungkin beliau akan menerima tawaran tersebut tetapi buat masa ini, beliau tidak ditawarkan apa-apa," katanya lagi.

Sebagai rekod, Revington dilantik sebagai jurulatih skuad senior negara bagi menggantikan Tai Beng Hai pada 22 Ogos 2012 apabila menandatangani kontrak selama dua tahun serta pilihan sambungan kontrak selama dua tahun lagi.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Afrika Selatan dan Ireland itu secara rasmi melepaskan jawatan pada 20 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment