Tuesday, January 07, 2014

PSM ‘jual isu pemakanan’


Kuala Lumpur: Tindakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang menimbulkan masalah pemakanan dilihat sebagai usaha untuk mengaburi kelemahan dan kegagalan pihak pengurusan badan induk berkenaan di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Sepak takraw di Nay Pyi Taw pada Disember lalu terutamanya lelaki terus dimalukan di peringkat Asia Tenggara apabila sekadar membawa pulang satu pingat perak untuk acara regu dan gangsa dalam acara berpasukan walaupun tewas dalam semua perlawanan manakala dua pingat gangsa turut disumbangkan skuad wanita dalam dua acara yang sama.

“Mereka (PSM) yang minta jangan bermain politik namun nampaknya mereka pula bertindak sedemikian. Ini (isu pemakanan) yang cuba timbulkan bagi saya adalah untuk mengaburi kegagalan pihak pengurusan pada Sukan SEA.

“Pada saya seharusnya perkara ini tidak perlu ditimbulkan lagi kerana tumpuan seharusnya dilakukan bagi memperbetulkan kesilapan lalu. Malah kenapa perlu dibangkitkan sekarang perkara ini, kenapa tidak dulu lagi?” kata bekas pemain negara Suhaimi Yusof.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terbaru membabitkan PSM selepas Presidennya, Datuk Ahmad Ismail pada Jumaat lalu berkata, makanan di kantin Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat dilabelkan beliau tidak boleh “dimakan” dan terdapat makanan yang digunakan semula seandainya tidak habis.

Manakala kapten skuad sepak takraw wanita negara Nurrashidah Abd Rashid turut meluahkan pandangan yang sama apabila menyatakan lebih kerap makan di luar berikutan situasi berkenaan.
“Namun tidak dinafikan pemakanan adalah penting untuk atlet dengan MSN boleh melakukan siasatan atau sebagainya untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya.

Bukan saja siasatan dari aspek atlet, malah pihak pengusaha juga perlu mendapat peluang yang seimbang untuk membuat penjelasan sebaik mungkin,” katanya. Selain menempatkan kira-kira 30 pemain sepak takraw, Kompleks MSN Keramat turut dihuni peninju elit negara dan atlet pelapis memanah.



Oleh Azlan Muhammad Zain - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment