Monday, January 06, 2014

PSM harus guna 'talian hayat'


AHMAD menganggap pencapaian skuad sepak takraw negara di Myanmar lebih baik berbanding prestasi pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.


SUDAH tiba masanya buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menggunakan 'talian hayat' yang ada.

Pemimpin-pemimpin tertinggi PSM kini perlu berlapang dada untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

PSM tidak ada pilihan lain selain daripada menggunakan kepakaran yang dimiliki KBS, MSN, ISN dan MOM bagi merangka program jangka pendek dan panjang.

Misi jangka pendek PSM adalah membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dari 4 hingga 19 September depan serta mengembalikan semula status Malaysia sebagai satu kuasa besar di rantau Asia Tenggara pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang menjadi misi jangka panjang badan induk itu.

Bagaimanapun, PSM semakin kesuntukan masa untuk membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi Sukan Asia 2014 yang hanya berbaki sembilan bulan itu.

Satu misi mustahil untuk memenangi pingat emas pada temasya berprestij di Asia itu berdasarkan persembahan skuad elit negara pada Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar bulan lalu.
Rata-rata pemain yang membarisi skuad elit ketika ini terdiri daripada barisan pemain muda dan cetek berpengalaman.

Satu-satunya cara untuk membentuk skuad yang mantap, PSM perlu mengumpul semula bekas pemain kebangsaan yang dirasakan masih mampu menyumbang tenaga dan bersedia untuk berbakti kepada negara.

Bekas pemain yang selama ini hanya pandai mengkritik dari belakang perlu tampil ke hadapan.
Jika perlu, regu emas Sukan SEA 2005 – Mohd. Futra Abd. Ghani, Mohd. Normanizam Ahmad dan Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif – perlu menimbangkan semula persaraan mereka.

Mereka perlu mengetepikan seketika ‘ideologi’ yang berbeza bagi merealisasikan misi jangka pendek PSM itu.
Di sinilah peranan KBS, MSN dan MOM diperlukan.

Mereka perlu mencari formula terbaik bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit seperti kebajikan pemain termasuk elaun, tempat tinggal dan pemakanan.

Selain itu, masalah utama yang menghantui bekas pemain ini adalah pelepasan daripada majikan masing-masing.

Isu pelepasan majikan yang selama ini menghalang barisan pemain daripada menyertai skuad negara perlu ditangani dengan kadar segera.

Syarikat-syarikat swasta atau kerajaan yang menjadi tempat pemain tersebut bekerja perlu bersikap lebih patriotik dengan memberikan kebenaran kepada mereka untuk mewakili negara.

Isu itu sudah lama ‘bersarang’ dalam pemikiran pemimpin-pemimpin tertinggi PSM tetapi tidak ada individu yang tampil untuk memberikan bantuan atau menyelesaikan masalah tersebut.

Keengganan majikan melepaskan pemain-pemain berbakat ini telah merencatkan perancangan PSM untuk membentuk skuad yang lebih sempurna.

Situasi itu memaksa PSM beralih kepada pemain-pemain muda yang masih belum bekerja untuk menampung kekosongan tempat yang ditinggalkan pemain berpengalaman.

Hasilnya sudah pasti tidak begitu memuaskan tetapi PSM tidak ada pilihan lain selain membentuk skuad yang dibarisi ramai pemain muda dan kurang berpengalaman.

Kebanyakan daripada bekas pemain itu juga sudah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri.
Jadi, isu elaun yang berpatutan dan tempat tinggal yang sempurna menjadi faktor utama yang membantutkan impian mereka untuk menyertai semula skuad kebangsaan.

ISN pula perlu bijak berperanan menyediakan program yang sesuai untuk meningkatkan motivasi dan daya tahan pemain-pemain itu.

Sementara itu, program jangka panjang perlu disusun dengan rapi yang membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar.

PSM perlu ‘turun padang’ ke kampung-kampung, daerah dan negeri bagi menanam budaya sukan sepak takraw dalam kalangan kanak-kanak di seluruh Malaysia.

Selain itu, PSM perlu menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memasukkan sukan sepak takraw itu dalam silibus dan aktiviti kokurikulum di semua sekolah rendah dan menengah.
Menerusi kejohanan-kejohanan yang diadakan di peringkat akar umbi itu, PSM pasti dapat ‘menggali’ bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk di bawa ke peringkat antarabangsa.

Sekiranya sukan tradisi orang Melayu ini kembali menjadi budaya dalam aktiviti harian rakyat Malaysia, seperti mana suatu ketika dahulu, tidak mustahil skuad negara akan digeruni semula pada Sukan SEA 2017 di Kuala lumpur.

Jadi, pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat itu, akan membincangkan semua isu-isu berbangkit tersebut.

Mengimbas kembali pencapaian skuad negara pada tahun 2013, PSM ditimpa malang berganda.
Selepas dimalukan Korea Selatan pada Kejohanan Sepak Takraw Siri Super 1 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di New Delhi, India, Ogos lalu, skuad negara diaibkan pula pada Sukan SEA 2013.

Kekalahan itu tidak hanya menyebabkan Malaysia hilang status sebagai satu ‘kuasa besar’ di rantau Asia Tenggara tetapi kedudukan mereka semakin terhakis di benua Asia.

Suatu masa dahulu, kehebatan Malaysia sebaris dengan musuh tradisi Thailand dan Indonesia tetapi kini semakin ketinggalan di belakang Myanmar, Laos, Vietnam di Asia Tenggara.

Lebih malang, Malaysia semakin tercabar untuk mempertahankan statusnya sebagai satu kuasa besar di Asia selepas diancam hebat pendatang baharu, Korea Selatan, China dan Jepun.

Lantaran itu, memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2014 merupakan satu-satunya peluang PSM untuk menebus kekecewaan tersebut.

Selain dianggap sebagai penanda aras terbaik buat PSM, kejayaan membawa pulang sebutir pingat emas itu juga bakal menyelamatkan karier Ahmad.

Ahmad dicabar untuk meletakkan jawatan yang disandang sejak tahun 2003 itu sekiranya gagal merealisasikan sasaran tersebut.

Kekalahan kepada Korea Selatan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat sukan sepak takraw di negara ini termasuk kritikan pedas Khairy.

Menteri Belia dan Sukan itu yang kecewa dengan kekalahan tersebut memberikan reaksi spontan untuk menyekat peruntukan kewangan berjumlah RM1 juta setahun yang diperoleh PSM.

Namun, keputusan Khairy itu tidak disenangi Ahmad, sekali gus mencetuskan ‘perang mulut’ antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Isu itu tidak ada kesudahannya selepas Khairy dan Ahmad enggan duduk semeja bagi membincangkan masalah tersebut kerana mereka lebih suka mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

Ketika isu tersebut masih hangat, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita yang menyedihkan apabila skuad negara tewas ketiga-tiga perlawanan dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 2013.

Selepas skuad wanita dibelasah 0-3 dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Thailand, Myanmar dan Indonesia, giliran skuad lelaki pula merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut.

Skuad lelaki tewas 0-3 kepada Thailand dan 1-2 di tangan Myanmar dalam dua perlawanan pertama sebelum tumpas 1-2 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir di Stadium Tertutup Wunna Theikdi B itu.

Kekalahan itu merupakan yang terburuk dalam sejarah, sekali gus meleburkan impian Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara berpasukan sejak 22 tahun lalu.

Khairy berkata, kekalahan memalukan skuad negara dalam acara berpasukan lelaki dan wanita pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu memang sudah dijangka.

Katanya, sudah tiba masanya beliau dan pemimpin tertinggi PSM duduk semeja bagi mencari formula terbaik bagi menyelesaikan masalah yang sedang melanda skuad negara ketika ini.
Beliau turut menyarankan supaya PSM berbincang dengan MSN dan KBS bagi mencari hala tuju serta perancangan baharu buat skuad sepak takraw negara.

“Kekalahan di Myanmar merupakan sesuatu yang memalukan tetapi sekiranya tidak ada tindakan yang diambil, skuad negara akan ‘malu besar’ jika kalah pada Sukan SEA 2017,” katanya.
Khairy yang tidak bersetuju dengan desakan pengkritik supaya Ahmad meletak jawatan mengakui, kekurangan kejohanan menjadi faktor utama kemerosotan skuad negara.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad elit negara, Jamaluddin Hassan yang turut kecewa dengan keputusan itu mengakui, beliau menyahut cabaran untuk memikul tanggungjawab besar bagi membentuk skuad yang mantap meskipun menyedari barisan pemain sedia ada masih muda dan kurang berpengalaman.

Bagaimanapun, Jamaluddin tidak menafikan bahawa kekalahan skuad negara di Myanmar berpunca daripada persembahan di bawah tahap sebenar yang dipamerkan para pemain ketika berada dalam gelanggang.

“Apa yang saya nampak, pemain-pemain negara tidak beraksi dengan baik. Kami sudah bagi segala ilmu dan mereka gagal menggunakannya,” katanya.

Sukan sepak takraw bukan acara tunggal yang gagal memenangi emas kerana beberapa acara ‘kelas satu’, terutamanya lumba basikal, bola sepak dan memanah (compound) turut dikategorikan sebagai acara yang gagal di Myanmar.

Jadi, sesuatu yang tidak adil sekiranya pegawai dan pemain-pemain sepak takraw negara terus dikecam berdasarkan pencapaian mereka.

Bagaimanapun, para peminat sepak takraw di Malaysia ada sebab untuk marah dan berasa kecewa.
Malaysia mampu menggenggam pingat emas sekiranya pemain-pemain mempunyai kekuatan mental untuk mengatasi perasaan gemuruh dan takut ketika berada di tengah gelanggang.

Kekangan psikologi menyebabkan tahap permainan anak-anak buah Jamaluddin itu tidak meningkat berbanding pencabar lain seperti Kemboja, Laos, Brunei dan Singapura.

Situasi itu menyebabkan mereka gagal untuk bersaing dengan kuasa besar, terutamanya Thailand, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Vietnam.

“Pada pendapat saya, tahap permainan pemain-pemain negara dengan pasukan lain tidak banyak bezanya.

“Namun, pemain-pemain negara banyak ‘membuang’ bola ketika melakukan servis. Ada kalanya, mereka langsung tidak memperoleh mata. Ini adalah kelemahan utama pemain negara terutama tekong.

“Selain itu, mereka juga gagal mengambil bola pertama yang dilakukan pasukan lawan. Mengangkat servis lawan penting dalam sesuatu perlawanan.

“Kegagalan mengutip mata semasa melakukan servis dan mengambil bola pertama pasukan lawan merupakan dua faktor utama yang mengundang kekalahan kami,” kata Jamaluddin.

Katanya, anak-anak buahnya masih menunjukkan kemajuan dalam aspek permainan dan sekiranya diberi lebih banyak masa, mereka mampu meningkat pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Ahmad mengakui bahawa pencapaian skuad negara pada Sukan SEA 2013 (satu pingat perak dan dua gangsa) lebih baik berbanding di Palembang, Indonesia dua tahun lalu.
Ahmad Ismail menyambut baik kesediaan Khairy untuk duduk berbincang mengenai isu pembangunan sukan tersebut.

Begitupun, Ahmad mahu pihak kementerian turut ‘turun padang’ dan melihat sendiri sama ada kebajikan para pemain negara dijaga dengan baik.

“Walaupun para pemain mendapat elaun bulanan, diberikan tempat tinggal dan makanan, kebajikan yang diterima itu harus berada dalam keadaan yang sempurna,” katanya.

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment