Wednesday, January 29, 2014

PKBM senarai pelumba percubaan

Kuala Lumpur: Selepas diselubungi kontroversi rentetan kegagalan di Sukan SEA Myanmar, ketua jurulatih Aminuddin Sulaiman akan menampilkan barisan percubaannya di Ronda Pilipinas 2014, 1 Februari ini. Perlumbaan itu sebagai pemanas badan menjelang Le Tour de Langkawi 2014 (LTdL 2014).

Sudah pasti kudrat Loh Sea Keong - pelumba Pro Tour Giant Shimano ditagih dan Aminuddin kini berdepan masalah apabila seorang lagi tonggak, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti disahkan masih mengalami kecederaan kronik bahagian belakang.

Justeru, Aminuddin kini hanya mampu mempertaruhkan Muhammad Rauf Nur Misbah, Suhardi Hassan, Mohd Nor Rizuan Zainal, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Mohd Ekbar Zamanhuri dan Amirul Anuar Jafri bagi menghadapi kejohanan 14 peringkat sejauh 1,776 kilometer yang melibatkan kawasan pergunungan di sekitar Baguio.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan keputusan untuk menyertai Ronda Pilipinas 2014 adalah bagi mengukur kekuatan semasa kombinasi pelumba berpengalaman dan muda.

“Walaupun dibelenggu kontroversi kerana gagal di Sukan SEA 2013, kita masih terus merancang perjalanan skuad lebuh raya negara.

“Antaranya ialah dengan menyertai Ronda Filipinas 2014.Awalnya kami mahukan Sea Keong turut serta ke Filipina. Namun pasukannya mengesahkan dia akan mulakan kempen di Eropah.

“Penyertaan di Ronda Pilipinas 2014 membuktikan kami masih berada di landasan terbaik untuk menampilkan skuad terbaik di LTdL 2014 nanti. Kita masih ada tiga pelumba yang kuat mendaki iaitu Muhammad Rauf Nur, Suhardi dan Nik Mohd Azwan,” katanya.


Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment