Thursday, January 09, 2014

PKBM bentuk barisan pelumba sendiri

Melaka: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menolak hasrat Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjalinkan kerjasama dalam pengurusan latihan pelumba lebuh raya negara seperti yang diminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menegaskan, mereka akan terus memikul tanggungjawab untuk menguruskan barisan pelumba lebuh raya dan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan skuad lebuh raya selepas ini, namun dengan syarat hanya pelumba kebangsaan akan membarisi pasukan negara di temasya utama seperti Sukan SEA, Asia dan Komanwel.

Katanya, keputusan itu sudah dipersetujui barisan exco selepas mengenal pasti pendekatan itu sebagai jalan terbaik dalam usaha menangani kegagalan skuad lebuh raya.

“Selepas empat tahun mencuba dengan menggabungkan pelumba profesional dan kebangsaan, jelas ia tidak menampakkan sebarang hasil terutama di Sukan SEA. “Kita lihat tiada kesepakatan pelumba apabila menggandingkan pelumba kebangsaan dan profesional.

Situasi ini timbul apabila pelumba profesional mengatakan mereka tidak perlu menjalani latihan pusat. Itu bukan semangat berpasukan. “Kita bukan bercakap mengenai kekuatan. Kita bercakap mengenai kesepakatan. Jika mereka ini tidak turun menjalani latihan pusat sudah tentu peluang kita untuk mencapai kejayaan juga terhad.

“Jadi pada masa akan datang, PKBM akan membentuk barisan pelumba sendiri untuk mewakili negara di temasya utama dengan hanya dua tempat akan diberikan kepada pelumba berstatus profesional. Itupun dengan syarat mereka perlu menjalani latihan pusat,” katanya.

Abu Samah berkata peruntukan RM1.5 juta yang diterima PKBM akan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan barisan pelumba kebangsaan pada masa depan.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment