Thursday, January 16, 2014

PARA ASEAN: Hemala Devi Sekali Lagi Menjadi Penyumbang Emas Pertama Negara


NAYPYITAW (Myanmar), 15 Jan (Bernama) -- Atlet wanita negara Hemala Devi Enny Kutty menjadi penyumbang pingat emas pertama untuk Malaysia selepas memenangi acara merejam lembing pada temasya Sukan Para Asean 2014, di sini Rabu.

Bukan sahaja merangkul emas, Hemala Devi turut memperbaharui rekod Sukan Para Asean miliknya dalam merejam lembing F11/F12 dengan catatan 23.78m, sekali gus memadamkan rekod 21.23m pada edisi 2011 di Solo, Indonesia.

Pingat perak dalam acara itu dimenangi atlet Brunei, Dayang Nor Hensan dengan jarak 15.20m manakala pingat gangsa menjadi milik atlet Filipina, Jeanette dengan catatan 14.50m.

"Ini adalah pencapaian terbaik selepas sering melakukan catatan antara 21 dan 22 meter sebelum ini. Semasa melakukan rejaman, saya hanya memikirkan untuk mencipta catatan perbadi terbaik," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Catatan rekod pada percubaan ketiga itu turut menjadi rekod kebangsaan.

Bagi Hemala Devi, kejayaan kali ini berbeza sedikit kerana kategori kecacatan digabungkan untuk acara merejam lembing wanita (cacat penglihatan).

Pada edisi keenam di Solo, Indonesia, beliau turut menjadi pemenang pingat emas pertama melalui acara yang sama.

"Ini sesuatu yang di luar jangkaan saya. Sepatutnya acara saya ini bukan berlangsung hari ini tapi disebabkan perubahan jadual acara saya telah diawalkan," katanya.

Pada temasya kali ini, Hemala Devi turut mengambil bahagian dalam acara melempar cakera dan lontar peluru.

Acara olahraga di dua venue iaitu Stadium Utama Wunna Theikdi (acara trek) dan Stadium Latihan (acara padang).

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment