Thursday, January 16, 2014

PARA ASEAN: Fraidden Sumbang Emas Pertama Di Kolam Renang


NAYPYITAW (Myanmar), 15 Jan (Bernama) -- Perenang paralimpik veteran negara Fraidden Dawan mula mengorak langkah untuk mempertahankan tiga pingat emas di Sukan Para Asean 2014 apabila meraih emas pertama di Kolam Renang Wunna Theikdi di sini Rabu.

Perenang berusia 27 tahun itu berjaya meraih emas dalam acara 400m gaya bebas lelaki S10 dengan catatan masa 5:01.53s, sebelum mengejar misi dalam acara 100m kuak kupu-kupu dan 200m rampaian individu selepas ini.

"Saya gembira kerana mengekalkan pingat emas dalam acara ini dan sedih kerana catatan masa kurang memuaskan berbanding catatan peribadi terbaik," kata perenang dari Bintulu, Sarawak, itu kepada Bernama di sini.

Menurutnya catatan peribadi terbaik beliau ialah 4:50.00s ketika ketika memenangi pingat emas di Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China.

Fraidden menaruh harapan untuk mengekalkan dua lagi pingat emas dalam acara seterusnya, sekali gus menyamai pencapaiannya dalam edisi 2011 di Solo, Indonesia.

Anak jati Sarawak itu mula mewakili negara pada edisi 2005 di Manila, Filipina.

Sementara itu, perenang senior Zul Amirul Sidi Abdullah meraih pingat perak dalam acara 100m kuak lentang lelaki S5 dengan catatan masa 1:41.13s, manakala Jamery Siga meraih gangsa dengan 1:46.61s.

Malaysia turut meraih satu lagi pingat gangsa melalui Yoong Chung Wei dalam acara 100m kuak lentang lelaki S14 dengan mencatat masa 1:22.26s.

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment