Thursday, January 16, 2014

PARA ASEAN: Atlet Olahraga Sumbang Empat Daripada Enam Pingat Emas Pada Hari Pertama


NAYPYITAW (Myanmar), 15 Jan (Bernama) -- Malaysia memulakan kempen buruan emas dalam acara olahraga apabila meraih empat emas pada hari pertama temasya Sukan Para Asean di sini Rabu.

Selepas atlet wanita Hemala Devi Enny Kutty menjadi penyumbang emas pertama negara pada sebelah pagi, kini giliran Muhammad Hafiz Abu Bakar meneruskan rentak dengan emas dalam acara melempar cakera lelaki F37/F36.

Muhammad Hafiz mencatatkan jarak 34.48m.

"Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian ini kerana catatan ini lebih baik berbanding 33.72m pada Grand Prix Olahraga IPC di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mac tahun lepas," katanya kepada Bernama di sini.

Pada temasya yang kali ketiga disertainya itu, Muhammad Hafiz juga akan beraksi dalam acara merejam lembing dan lontar peluru.

"Prestasi saya tidak berapa baik dalam acara merejam lembing dan saya lebih fokus kepada acara lontar peluru. Sasaran saya ialah untuk memperbaiki catatan terbaik peribadi saya iaitu 11.60m dalam acara lontar peluru," katanya.

Sebelum itu, Hemala Devi menghadiahkan emas dalam acara merejam lembing F11/F12 dengan catatan rekod temasya 23.78m. Beliau memadam rekodnya sendiri iaitu 21.23m yang dicipta pada edisi 2011 di Solo, Indonesia.

Malaysia menambah dua lagi pingat dalam acara trek menerusi Mohd Faizal Aideal Suhaimi (100m T12 lelaki) dan Nasharuddin Mohamad (100m T20 lelaki).

Perenang veteran Fraidden Dawan turut menyumbang emas dalam acara 400m gaya bebas lelaki S10 dengan catatan masa 5:01.53s.

Sementara itu, acara ping pong menyumbang satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa untuk kontinjen negara.

Gandingan Mohd Azwar Bakar dan Chee Chao Ming menewaskan Samee Sukij dan Sillapong Bunpot dari Thailand 11-9, 11-7, 8-11 dan 11-7 untuk meraih pingat emas dalam kategori beregu terbuka lelaki.

Malaysia turut meraih gangsa dalam kategori yang sama melalui gandingan Tan Wei Wern dan Yap Moo On.

Pingat perak pula diperolehi menerusi Mohd Azwar yang tewas 10-12, 5-11, 11-8 dan 7-11 kepada Seronio Isalas dari Filipina dalam perlawanan akhir acara perseorangan terbuka lelaki.

Selepas tamat saingan hari pertama, Malaysia mengumpul enam pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Daripada Farhanah Azmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment