Wednesday, January 22, 2014

MSN sedia bincang

Putrajaya: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memberikan tempoh sebulan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menyiapkan dan membentangkan perancangan program lebuh raya.

“Saya memberi tempoh sebulan kepada mereka. Kita akan membuat penilaian awal sebelum duduk berbincang bagi memastikan apakah program terbaik yang akan dilaksanakan bersama.

“Ia (kerjasama) sudah diarahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, jadi mereka tidak mempunyai pilihan sekiranya mahukan bantuan kerajaan, mereka perlu akur kepada arahan itu. Kami (MSN) tidak mempunyai masalah dengan sudah membuktikan menerusi kejayaan program trek sebelum ini,” kata Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong. Menurutnya, Khairy sudah meminta MSN membabitkan diri dalam program lebuh raya PKBM selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai persatuan berkenaan minggu lalu.

“Menteri maklumkan antara syarat utama meletakkan KPI (indeks petunjuk prestasi) dengan mengambil kira Sukan SEA 2015 sebagai penilaian pertama sebelum membuat keputusan untuk meneruskan bantuan kepada PKBM atau sebaliknya,” katanya.

PKBM menjadi tumpuan sejak Sukan SEA Myanmar tahun lalu apabila sekali lagi gagal menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2005 di Filipina.

Ia dilihat sesuatu yang tidak setimpal selepas peruntukan RM1.5 juta yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setiap tahun kepada persatuan berkenaan yang dikhususkan untuk program pembangunan lebuh raya.

Khairy turut mengarahkan perbelanjaan membabitkan akuan berkenaan diteliti Ketua Audit Dalam KBS, Rokiah Sahat secepat mungkin.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment