Tuesday, January 07, 2014

MSN boleh ambil alih program

Kuala Lumpur: Kemelut yang melanda dua persatuan sukan negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mampu merosakkan sukan negara.

Itu tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang mengulas mengenai perbalahan yang melanda dua persatuan sukan itu sehingga mengundang campur tangan daripada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy yang kecewa dengan insiden yang berlaku mencadangkan agar MSN mengadakan perbincangan bersama dua persatuan berkenaan berikutan kegagalan yang disifatkan memalukan pada temasya dwi tahunan, Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Justeru Zolkples menegaskan, MSN tidak mempunyai masalah mengambil alih tugas persatuan sekiranya mereka gagal mengendalikan atau menyelesaikan masalah yang timbul namun ia perlulah dengan kerelaan persatuan itu sendiri.

“MSN tidak mempunyai masalah untuk menguruskan tugas persatuan tapi persatuan itu perlu dengan rela hati melepaskan tanggungjawab mereka kepada MSN kerana sudah banyak kali saya cakap MSN tidak mempunyai masalah sekiranya diminta oleh persatuan. “Namun saya akui bawah saya agak kecewa dengan persembahan atlet negara seperti basikal di Sukan SEA terutama apabila kita tewas kepada pelumba tidak ternama dari Laos dan mungkin kekalahan itu disebabkan pelumba tidak sepenuh hati,” katanya.

 Mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang meminta pucuk pimpinan PKBM dan PSM, Datuk Abu Samah Wahab dan Datuk Ahmad Ismail meletakkan jawatan, Zolkples nyata tidak bersetuju dan menyelar tindakan itu kerana ia bukan satu tindakan yang wajar dan boleh membunuh budaya sukan di negara ini.

“Mereka tidak boleh mendesak Abu Samah untuk meletakkan jawatan kerana itu bukan budaya sukan di negara ini. Malaysia adalah negara demokrasi dan apa-apa saja berjalan mengikut sistem pemilihan,” katanya. Sementara itu PKBM menerima segala kritikan dengan terbuka dan seperti yang dikatakan sebelum ini, Abu Samah menegaskan satu mesyuarat exco PKBM akan berlangsung Sabtu ini bagi membincang serta mengatasi segala masalah yang timbul.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment