Tuesday, January 07, 2014

Malaysia Mampu Capai Sasaran 50 Emas Pada Sukan Para Asean - Zainal

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Malaysia yakin mampu mencapai sasaran 50 pingat emas serta mengekalkan kedudukan antara tiga negara terbaik pada temasya Sukan Para Asean di Naypyitaw, Myanmar, dari 14 hingga 20 Jan ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi atlet paralimpik negara yang tidak pernah mengecewakan ketika bertanding dalam mana-mana temasya sukan sebelum ini.

Sukan Para Asean diadakan selepas edisi ke-27 Sukan SEA Myanmar dari 11 hingga 22 Dis lepas.

Zainal, yang juga Presiden Majlis Paralimpik Asia (APC), berkata kontinjen negara sudah memulakan latihan pusat di Putrajaya semalam dan akan bertolak ke Myanmar pada 12 Jan ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara APC dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asia 2014 Incheon, Korea Selatan (IAPGOC) di sini Isnin.

APC diwakili oleh Setiausaha Agungnya, R. Malini manakala IAPGOC oleh Setiausaha Agungnya, Hwang Eui Sik. Turut hadir Pengarah Jabatan Antarabangsa IAPGOC, Woo Hee Chang.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis itu, Zainal berkata Sukan Para Asia membuka lebaran baharu serta menyediakan peluang kepada pemimpin dan pegawai sukan meningkatkan pembangunan sukan paralimpik di negara masing-masing.

"Sukan Para Asia 2014 adalah penting kerana atlet dapat mengumpul mata bagi layak ke Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil," katanya.

Sukan Para Asia 2014 akan berlangsung dari 18-24 Okt ini di Incheon, Korea Selatan dengan melibatkan penyertaan 42 negara dari benua Asia.

Ia bakal mempertandingkan 23 jenis sukan termasuk empat sukan baharu iaitu tarian dan ragbi berkerusi roda, boling padang dan pelayaran.

Sejumlah 19 sukan lain ialah olahraga, boccia, bola sepak lima dan tujuh sebelah, goalball, judo, powerlifting, memanah, badminton, berbasikal, mendayung, bola tampar duduk, renang, ping pong, menembak selain tenis, bola keranjang dan lawan pedang (kesemuanya berkerusi roda).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment