Wednesday, January 08, 2014

Langsai dulu hutang!


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) diminta melangsaikan hutang kepada pihak pengurusan kantin Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat terlebih dulu sebelum mempersoalkan mutu makanan disediakan.

Kos untuk beberapa majlis yang dianjurkan PSM sejak beberapa tahun lalu difahamkan mencecah ribuan ringgit, namun badan induk berkenaan masih belum membuat sebarang bayaran.

“Kami sebenarnya sudah terbabit dalam menyediakan perkhidmatan katering kepada PSM sejak zaman 1980-an lagi, namun ketika itu walaupun mesyuarat mereka berlangsung dengan panas sehingga ada objek yang terbang, bayaran tetap dijelaskan sebaik saja selesai majlis. Bagaimanapun sebaliknya berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Antara kos majlis yang masih belum dijelaskan PSM adalah majlis doa selamat untuk ke Sukan SEA Thailand (2007) dan Laos (2009), jamuan hari raya serta majlis meraikan tetamu mereka dari Myanmar pada tahun lalu. Sampai sekarang pihak kami masih belum mendapat bayaran yang mencecah ribuan ringgit walaupun sudah diserahkan sendiri kepada Setiausaha Agung PSM Datuk Arshad Yahya termasuk pernah sekali diberikan terus kepada Datuk Ahmad Ismail selaku presiden. Malah janjinya untuk menjelaskan bil sekadar tinggal janji,” menurut wakil pengurusan kantin MSN Keramat yang hanya mahu dikenali sebagai Yus.

Menurutnya, situasi berkenaan menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidak lagi membuat katering bagi majlis membabitkan pegawai PSM dengan badan induk berkenaan sebaliknya meminta kebenaran untuk menggunakan kemudahan di kantin tetapi menggunakan katering pihak luar.

“Kami bersetuju dengan permintaan itu namun selepas beberapa kali, kami membuat keputusan tidak membenarkan mereka berbuat demikian sejak pertengahan tahun lalu apabila gagal menggunakan kemudahan yang diberikan sebaik mungkin termasuk meninggalkan kantin dalam keadaan berselerak. Jadi bukannya makanan kami tidak bermutu tapi kerana kami sudah tidak mahu lagi membuat katering membabitkan majlis mereka.
“Kami fikir ini mungkin antara perkara yang mencetuskan kemarahan mereka sehingga menimbulkan isu makanan membabitkan atlet. Tindakan mereka itu kami anggap sebagai cuba menjatuhkan maruah kami,” katanya.

Isu membabitkan makanan di kantin MSN Keramat timbul apabila Ahmad pada Jumaat lalu mendakwa makanan yang disediakan tidak boleh ‘dimakan’ sehingga mempengaruhi persembahan barisan pemain sepak takraw negara.

“Kami juga ingin jelaskan menu disediakan di Keramat itu dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan sama seperti di MSN Bukit Jalil. Kami tidak pernah membuat sebarang perubahan termasuk sambal sardin seperti yang didakwa seorang pemain sepak takraw wanita baru-baru ini. Malah pemain yang mengadu itu pun kami lihat masih menjamah makanan di kantin,” katanya.

Menurutnya, mereka sememangnya terkejut dengan dakwaan ditimbulkan itu dan mahu ia dibuktikan sekiranya benar berlaku.

“Pihak MSN kerap melakukan pemeriksaan. Jadi kami berharap pihak yang membuat dakwaan hadir dengan bukti. Kami juga berharap isu seperti ini janganlah sehingga mengheret menteri kerana ia boleh diselesaikan dengan baik sekiranya pegawai PSM datang bertemu kami. Kami lihat persatuan lain berjumpa terus sekiranya ada masalah, tapi sebaliknya pula dengan PSM walaupun Arshad dan Tengku Adnan Tengku Burhanuddin (Penolong Setiausaha Agung PSM) sentiasa berada di MSN Keramat. Malah kami sedia berjumpa Ahmad sendiri bagi menceritakan segala-galanya,” katanya.




Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment